ISMAIL Sabri. FOTO Bernama
ISMAIL Sabri. FOTO Bernama
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


SERAMAI 180 individu ditahan kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 16 individu direman manakala 164 lagi dikenakan kompaun kerana terbabit dalam aktiviti kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal.

"Sebanyak 57,066 pemeriksaan dilakukan Pasukan Khas Operasi Pematuhan semalam, bagi memantau dan menguat kuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP.

"Pemantauan dilakukan di 3,489 pasar raya, 5,394 restoran serta 1,458 penjaja, 930 kilang, 3,550 bank dan 790 pejabat kerajaan.

"Selain itu, 1,375 terminal pengangkutan darat, 270 terminal pengangkutan air serta 123 terminal pengangkutan udara turut dipantau oleh Pasukan Khas Operasi Pematuhan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagi Operasi Benteng pula, Ismail Sabri berkata, sebanyak enam sekatan jalan raya dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Operasi Benteng di seluruh negara.

"Menerusi sekatan jalan raya itu, sebanyak 31,184 kenderaan diperiksa bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati) terutama di lorong tikus.

"PDRM juga berjaya menahan tiga warga asing kerana kesalahan imigresen," katanya.

Katanya, kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram.

"Agensi-agensi penguat kuasa akan terus memperketatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Ogos 2020 @ 2:55 PM