GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Norzamira Che Noh


PENGANGGUR menyamar sebagai anggota polis dan mengugut warga asing ditahan di Jalan Pandamaran Jaya, Pelabuhan Klang, 9 malam, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, dalam kejadian itu, suspek, 38, pergi ke rumah mangsa berpakaian biasa dan mengetuk pintu rumah mangsa.

"Suspek menyuruh mangsa iaitu lelaki warga Indonesia berusia 52 tahun yang bekerja sebagai buruh binaan untuk membuka pintu rumah dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis.

"Suspek juga tidak memaklumkan tujuannya ke rumah itu dan menyebabkan mangsa merasa curiga serta takut.

"Mangsa seterusnya menghubungi polis untuk meminta bantuan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sepasukan anggota Unit Kereta Peronda Polis (MPV) kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian dan berjaya menahan suspek.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek bergerak secara sendirian malah suspek mengakui baru pertama kali melakukan jenayah berkenaan.

"Suspek direman selama tiga hari untuk siasatan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Ogos 2020 @ 10:48 AM