PEGAWAI penguat kuasa kesihatan bersama polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya membuat pemeriksaan mengejut terhadap individu PUS di Bandar Utama. FOTO Asyraf Hamzah.
PEGAWAI penguat kuasa kesihatan bersama polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya membuat pemeriksaan mengejut terhadap individu PUS di Bandar Utama. FOTO Asyraf Hamzah.
Muhaamad Hafis Nawawi


PEGAWAI Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat 2,018 pemeriksaan mengejut ke atas pesakit dalam pemantauan (PUS) yang dikuarantin di rumah, semalam.

Ia bagi memastikan semua individu berkenaan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan berhubung perintah kuarantin.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan memandang serius insiden ketidakpatuhan SOP kuarantin di rumah yang menyebabkan penularan jangkitan Covid-19 kepada ahli keluarga dan juga masyarakat sekeliling.

"PDRM tidak berkompromi lagi dan telah mengambil tindakan mengikut Seksyen 22(B) Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) terhadap 31 individu yang melanggar SOP kuarantin di rumah termasuk keluar dari kawasan rumah.

"Kertas siasatan telah dihantar ke Pejabat Peguam Negara untuk tindakan susulan," katanya pada sidang media Perintah Kawalan Pergerakan bagi Covid-19, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, seramai 6,473 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan dan semua mereka ditempatkan di 26 hotel serta lima Institut Latihan Awam (ILA) di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak dan Perlis bermula 24 Julai lalu hingga semalam.

"Daripada jumlah itu, seramai 18 individu telah dibawa ke hospital untuk rawatan kerana positif Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2020 @ 3:35 PM