ANTARA permainan yang dirosakkan. FOTO Ihsan MPKL.
ANTARA permainan yang dirosakkan. FOTO Ihsan MPKL.
Ruwaida Md Zain


SKRU 'Monkey Bar' dicabut dan rantai buaian putus angkara 'kanak-kanak' dewasa, selain peralatan permainan diperbuat daripada besi dicuri.

Itu antara kegiatan vandalisme yang berlaku di taman permainan di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) hampir setiap tahun.

Mungkin itu perkara remeh bagi sesetengah individu, namun kos membaikpulih taman permainan berkenaan mencecah ratusan ribu setiap tahun.

Yang Dipertua MPKL, Datuk Amirul Azizan Abd Rahim berkata, pada 2018, MPKL membelanjakan RM752,000 untuk kos pembaikan taman kanak-kanak akibat perbuatan vandalisme.

"Sementara tahun lalu sebanyak RM800,000 diperuntukkan membaiki peralatan riadah di seluruh taman permainan dan dataran di kawasan pentadbiran MPKL.

"Kami amat kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang melakukan vandalisme," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kerosakan alat permainan mungkin boleh mengakibatkan kecederaan kepada pengguna dan kanak-kanak.

"Selain itu, ada pengunjung yang membawa masuk basikal atau motosikal di dalam kawasan taman permainan dan dataran.

"Perkara ini jelas melanggar peraturan sedia ada dan boleh mendatangkan bahaya kepada pengunjung," katanya.

Beliau berkata, sebarang maklumat berhubung kegiatan vandalisme, boleh salurkan ke MPKL melalui talian 03-31872825 atau Sistem Pengurusan Aduan Selangor (SISPAA).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2020 @ 11:33 AM