Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Maahad Tahfiz Al-Quran Masjid Lama di Kampung Lambor Kanan, Bota yang terbakar 30 Julai lalu. STR/NOOR HIDAYAH TANZIZI.
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Maahad Tahfiz Al-Quran Masjid Lama di Kampung Lambor Kanan, Bota yang terbakar 30 Julai lalu. STR/NOOR HIDAYAH TANZIZI.
Oleh Noor Hidayah Tanzizi


MALAYSIA bersedia menghantar jemaah umrah selepas Arab Saudi memberi kebenaran untuk menunaikan ibadat berkenaan, dijangka bulan hadapan, berdasarkan situasi semasa pandemik Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, pihaknya menyambut baik apa saja keputusan Arab Saudi membabitkan ibadat itu.

"Bergantung kepada suasana Covid-19, sebab itu jangkaan boleh jadi berubah seperti baru-baru ini (jemaah) haji. Pada asasnya kita bersedia untuk menghantar tetapi (perlu) melihat situasi (semasa), boleh berubah.

"Justeru, jika semuanya baik, saya rasa tidak ada masalah, tetapi buat masa ini, dalam situasi kita masih berjaga-jaga, amat perlu kita mengambil langkah mengawal Covid-19," katanya selepas melawat Maahad Tahfiz Al-Quran Masjid Lama di Kampung Lambor Kanan di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Paimuzi Yahya, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Tuan Kamarul Arief Tuan Soh dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Datuk Mohd Yusop Husin.

Menurutnya, pihaknya turut tidak menolak kebenaran menunaikan umrah itu juga akan membabitkan peningkatan kos dan prosedur operasi standard (SOP) sewajarnya.

Katanya, ia mengambil kira penambahbaikan aspek keselamatan dan kesihatan namun ia akan diperhalusi kemudian, termasuk kos ujian saringan jemaah.

"Boleh jadi berlaku (ada kos tambahan) berdasarkan situasi semasa, tidak pelik kalau berlaku (tetapi) saya lebih prihatin daripada sudut keselamatan, kesihatan dan kepatuhan kepada SOP," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH) Datuk Seri Razali Mohd Sham dilaporkan berkata, pihaknya menjangkakan kerajaan Arab Saudi akan membenarkan jemaah menunaikan umrah mulai September atau Oktober ini.

Terdahulu, Arab Saudi menggantung sementara kemasukan jemaah umrah di Kota Suci Makkah dan melawat Masjid Nabawi di Madinah bagi mengelak penularan Covid-19 pada Februari lalu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2020 @ 6:19 PM