ZAMRI (tengah) beramah mesra dengan Hassanuddin (kanan) dan Zainuddin. FOTO Amran Hamid.
ZAMRI (tengah) beramah mesra dengan Hassanuddin (kanan) dan Zainuddin. FOTO Amran Hamid.
Zuliaty Zulkiffli


PEGAWAI dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terbabit dengan salah laku akan berdepan tindakan di bawah Akta Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang akan dikuatkuasakan tidak lama lagi.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman Datuk Zamri Yahya berkata, kertas cadangan berkaitan akta itu hanya menunggu kelulusan di Parlimen akhir Ogos ini.

Katanya, sebaik akta baru itu diwartakan, ia akan diguna pakai serta-merta.

Beliau berkata, untuk aduan yang dilaporkan sebelum tarikh kuat kuasa akta itu, ia akan diselesaikan dalam tempoh enam bulan selepas akta berkenaan dilaksanakan.

"Sekiranya IPCMC berjaya dilaksanakan, kami hanya akan menerima aduan salah laku yang dibuat bermula daripada tarikh kuat kuasa akta baru itu.

"Kita akan memberi tumpuan untuk melihat kepada isu asas menyelidiki, memantau dan mengambil tindakan terhadap salah laku," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Kedah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah hari ini.

Datuk Hasanuddin Hassan yang sebelum ini adalah Ketua Polis Kelantan dilantik sebagai Ketua Polis Kedah baru berkuat kuasa hari ini menggantikan Datuk Zainuddin Yaacob yang menjawat jawatan Pegarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman.

Dalam pada itu, Zamri berkata, bagi aduan yang dikemukakan kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) sebelum tarikh kuat kuasa Akta IPCMC, ia akan diselesaikan dalam tempoh enam bulan iaitu selepas akta baru itu diwarta dan dikuatkuasakan.

Katanya, untuk rekod, EAIC menerima lebih 2,000 aduan berkaitan salah laku pegawai dan anggota PDRM ketika menjalankan tugas.

Daripada jumlah itu, 100 individu sudah dikenakan tindakan kerana gagal mematuhi pengurusan kerja yang melanggar etika PDRM.

"Contoh aduan, ada anggota polis peronda tidur di surau atau balai polis dan ada yang sepatutnya meronda tetapi tidak melakukannya.

"Anggota dan pegawai yang terbabit dengan dadah serta rasuah pula hanya membabitkan jumlah kecil," katanya.

Sementara itu, Hasanuddin ketika diminta mengulas mengenai tanggungjawabnya berkata, beliau akan memberi tumpuan untuk mengekang kegiatan penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2020 @ 4:28 PM