Amir Abd Hamid


SEHINGGA Jun lalu, sebanyak 2,360 menara komunikasi sudah siap dibina dan 280 menara masih dalam peringkat pelaksanaan.

Selain itu, sebanyak 5,348 alat pemancar komunikasi di menara komunikasi sedia ada dinaiktaraf kepada perkhidmatan 3G dan 4G serta sebanyak 11 alat pemancar komunikasi masih dalam peringkat pelaksanaan.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, itu adalah antara usaha yang giat dilaksanakan untuk memperluas perkhidmatan jalur lebar mudah alih di seluruh negara.

"Kementerian Komunikasi dan Multimedia melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sudah dan sentiasa memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur komunikasi yang komprehensif.

"Ia dilakukan melalui penyediaan liputan jalur lebar dengan menggunakan pelbagai teknologi (termasuk talian tetap dan mudah alih) yang dapat memberi perkhidmatan komunikasi lebih menyeluruh, stabil dan berkualiti di kawasan luar bandar, pedalaman serta kumpulan yang kurang diberi perkhidmatan dalam masyarakat, menerusi pembiayaan Kumpulan Wang Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS).

"Bagi perkhidmatan jalur lebar talian tetap pula, kerajaan sudah melaksanakan projek Jalur Lebar Pinggir Bandar (SUBB) dan projek Jalur Lebar Luar Bandar (RBB) yang menyediakan kemudahan jalur lebar berkelajuan tinggi di kawasan pinggir bandar dan luar bandar di seluruh negara," katanya pada sesi sidang Dewan Rakyat, hari ini.

DATUK Zahidi Zainul Abidin pada sidang media. FOTO Rohanis Shukri
DATUK Zahidi Zainul Abidin pada sidang media. FOTO Rohanis Shukri

Beliau menjawab soalan Sabri Azit (Pas-Jerai) berhubung langkah kerajaan mengatasi masalah liputan Internet di luar bandar yang amat diperlukan khususnya ketika negara berhadapan pandemik Covid-19.

Mengulas lanjut Zahidi berkata, sehingga bulan Jun sebanyak 639,676 sambungan sudah tersedia, manakala sebanyak 34,781 sambungan masih dalam peringkat pelaksanaan yang dijangka siap secara berperingkat tahun ini.

"Selain itu, bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar talian tetap pula, inisiatif penaiktarafan rangkaian berasaskan tembaga kepada rangkaian gentian optik yang membabitkan sebanyak 933,724 pelanggan sedia ada di seluruh negara sedang dilaksanakan dalam tempoh dua tahun ini.

"Jumlah ini dijangka diselaraskan dari semasa ke semasa disebabkan oleh faktor peralihan langganan pelanggan (churn)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2020 @ 2:54 PM