Muhaamad Hafis Nawawi


ALIRAN trafik di beberapa lebuh raya utama didapati perlahan sejak tengah hari tadi dan dijangka berterusan sehingga ke malam berikutan orang ramai mula pulang selepas menyambut Aidiladha di kampung halaman.

Ketua Kecemerlangan Operasi PLUS Malaysia Berhad (PLUS) Mohd Yusuf Abdul Aziz berkata, setakat 12 tengah hari tadi, aliran trafik perlahan dari utara menghala ke selatan terutama dari Juru ke Bukit Merah, Terowong Menora ke Ipoh, Gopeng ke Tapah dan Sungkai ke Slim River.

Menurutnya, kawasan dari Gopeng hingga ke Slim River berlaku aliran trafik perlahan disebabkan ia kawasan berbukit dan mendaki.

"Sementara dari arah selatan ke utara kesesakan trafik berlaku dari Tangkak ke Jasin sementara yang lain masih lancar.

"Jumlah aliran trafik selama dua hari iaitu Khamis dan Jumaat lalu sebanyak 1.7 juta pengguna di Lebuhraya PLUS dan ia menurun kepada 1.3 juta pengguna semalam," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Yusuf berkata, bagaimanapun pihaknya menjangka aliran trafik akan kembali meningkat hari ini berikutan kepulangan warga kota dari kampung.

"Bagaimanapun jumlah aliran trafik itu masih tidak terlalu tinggi dan ia sama seperti aliran trafik harian sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

"Kita juga menasihatkan orang ramai supaya mengelak berhenti di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) jika ia sesak dan kita juga akan menutup R&R terbabit jika terlalu sesak," katanya.

Beliau berkata, pengguna lebuh raya juga sebenarnya boleh keluar melalui persimpangan yang ada dan menggunakan kemudahan surau serta tandas yang lain sebelum masuk semula ke lebuh raya untuk meneruskan perjalanan.

"Pihak PLUS juga menasihatkan pengguna supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengekang Covid-19," katanya.

Sementara itu, Lembaga Lebuhraya Malaysia menerusi Facebook berkata, setakat jam 1.37 tengah hari tadi, trafik perlahan di bermula dari Persimpangan Karak/ Lebuhraya Pantai Timur (LPT1) ke Plaza Tol Bentong terus ke Bukit Tinggi.

"Trafik juga mulai perlahan arah barat iaitu lima kilometer dari Persimpangan Temerloh ke Lanchang dan 17 kilometer dari Persimpangan Lanchang ke Karak dan bercantum dengan lebuhraya KLK," katanya.

TRAFIK perlahan bermula dari Persimpangan Karak/LPT1 ke Plaza Tol Bentong. FOTO ihsan LLM
TRAFIK perlahan bermula dari Persimpangan Karak/LPT1 ke Plaza Tol Bentong. FOTO ihsan LLM

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Ogos 2020 @ 2:21 PM