Siti Rohana Idris


SEORANG daripada tiga beradik yang menghidap cerebral palsy meninggal dunia di rumahnya di Kampung Kok Keli 1 di Tumpat pagi hari ini.

Jenazah Muhammad Amir Mohd Zain, 19, selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kok Keli 1, selepas solat Zohor di lokasi sama arwah ibunya disemadikan selepas meninggal dunia pada 2017 lalu akibat barah payudara.

Bapanya, Mohd Zain Abdullah, 57, berkata, Muhammad Amir disedari tidak memberi respon ketika anak sulungnya, Umi Shamira, 28, mengejutkannya untuk disuapkan makanan pada pagi.

"Seperti biasa, Umi akan mengejutkan ketiga-tiga mereka pada 9.30 pagi untuk disuapkan makanan sebelum memandikan mereka.

"Apabila tiba giliran Amir, dia tiada respon dan sebaik diperiksa nadinya, sudah tiada dan tubuhnya juga dingin," katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Mohd Zain berkata, anak keempat daripada tujuh beradik itu tidak menunjukkan sebarang perubahan malah kesihatannya juga tiada masalah dan jika ada sakit atau berasa tidak selesa, Muhammad Amir akan merengek.

Kisah mengenai Muhammad Amir iaitu Khairul Nisaa', 26, dan Ain Husna, 18, mendapat liputan sebelum ini termasuk kecekalan bapa tunggal menguruskan mereka.

Mohd Zain berkata, pemergian Muhammad Amir secara mengejut memang agak memberi kesan kerana sudah tiga tahun masanya diluangkan bagi menguruskan mereka dengan bantuan dua anaknya.

Mohd Zain bersama dua anaknya yang menghidap cerebral palsy di rumahnya di Kampung Kok Keli 1, Tumpat. Foto Rohana Idris
Mohd Zain bersama dua anaknya yang menghidap cerebral palsy di rumahnya di Kampung Kok Keli 1, Tumpat. Foto Rohana Idris

"Tipu jika saya kata tidak terkesan kerana setiap hari mereka bertiga menjadi keutamaan saya untuk diuruskan termasuk memandikan dan menyuap makan malah boleh dikatakan sentiasa di depan mata.

"Bagaimanapun, saya tidak boleh menolak takdir dan harus sentiasa bersedia kerana dua anak selain Muhammad Amir yang menghidap penyakit sama juga pergi dalam keadaan serupa," katanya.

Menurutnya, rezeki anak istimewanya sentiasa murah dan sehingga kini bantuan serta pertolongan masih lagi diterima sama ada dari penyumbang yang dikenali atau tidak.

Dia berkata, untuk ibadah korban semalam, ada seorang individu yang memasukkan sejumlah wang ke akaunnya dan meminta agar melakukan ibadah berkenaan.

"Saya tidak mengenalinya dan dia hanya meminta agar saya mengambil satu bahagian di atas nama saya dengan harapan sama-sama mendapat keberkatan dan pahala atas ibadah yang dilakukan," katanya.

Berita berkaitan

Amanah jaga tiga anak OKU

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Ogos 2020 @ 6:25 PM