Busker turut memberi mesej kesedaran mengenai Covid-19 ketika persembahan. Foto Ihsan MYBC
Busker turut memberi mesej kesedaran mengenai Covid-19 ketika persembahan. Foto Ihsan MYBC
Yusmizal Dolah Aling

LEBIH tiga bulan lalu, mereka antara golongan terjejas akibat Covid-19 sehingga ada yang terpaksa melakukan kerja lain kerana persembahan di khalayak ramai tidak dibenarkan.

Namun, selepas keadaan semakin pulih dan dapat melakukan persembahan di dalam premis, peluang itu digunakan oleh busker untuk turut menyampaikan mesej memerangi wabak berkenaan kepada masyarakat.

Presiden Kelab Malaysia Buskers (MYBC) Wady Hamdan berkata, berbanding ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, pemuzik jalanan kini boleh menarik nafas lega kerana dapat mencari pendapatan walaupun dalam keadaan normal baharu.

Menurutnya, industri buskers hampir lumpuh sepenuhnya sepanjang PKP kerana sebahagian besar daripada 13,000 ahli MYBC adalah pemuzik sepenuh masa dan menjana pendapatan menerusi persembahan.

"Waktu awal-awal PKP, kita lumpuh terus. Ada yang langsung tidak bekerja, ada yang jadi penghantar makanan, pemandu e-hailing dan macam-macam lagi.

"Kita cadangkan supaya mereka untuk merakam persembahan atau bermain secara 'live' untuk terus bertahan.

"Alhamdulillah ketika itu ada yang dapat sambutan kerana sudah ada pengikut," katanya kepada Harian Metro.

Wady berkata, selepas kerajaan membenarkan buskers untuk mengadakan persembahan di dalam premis, mereka bagaikan mendapat nyawa baru kerana dapat mencari nafkah dengan muzik.

Menurutnya, sehingga kini, pihaknya memastikan semua busker mengikut prosedur operasi standard (SOP) seperti penjarakan fizikal dan tiada lagi penyertaan daripada penonton ketika persembahan.

"Secara keseluruhan, pendapatan mereka kurang berbanding sebelum ini. Namun hikmahnya mereka kini bukan saja beraksi di depan penonton, tapi juga dirakam secara langsung menerusi saluran YouTube masing-masing.

"Kita juga promosikan kesedaran mengenai jangkitan Covid-19 untuk membantu kerajaan memerangi wabak ini ketika persembahan," katanya.

Mengenai perkembangan terbaru, Wady berkata, MYBC juga bekerjasama dengan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) untuk memberikan tauliah kepada busker menjadi tenaga pengajar pada masa depan.

Katanya, ia juga sebagai nilai tambah kepada mereka dan mengubah tanggapan sesetengah pihak bahawa kerjaya sebagai busker tiada masa depan.

"Dengan kelulusan serta tauliah sedia ada, mereka dapat pergi lebih jauh. Sebelum ini mungkin mereka hanya mempertaruhkan kemahiran dan bakat muzik, tetapi kini boleh menyampaikan ilmu yang dimiliki," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Ogos 2020 @ 4:35 PM