DR NOOR HISHAM ABDULLAH
DR NOOR HISHAM ABDULLAH
BERNAMA

FAKTA mengejutkan apabila tidak sampai separuh syarikat Air Mineral Semulajadi (AMS), Air Minuman Berbungkus (AMB), Air dari Mesin Jual Air (MJA) dan ais berdaftar dengan Kementerian Kesihatan (KKM).

Difahamkan hanya 271 daripada 1,153 premis pengilangan berdaftar dengan KKM hasil Operasi Khas Penguatkuasaan Bagi Pelesenan (Ops Lesen) yang dilakukan baru-baru ini.

Ia hanya menyamai 23.5 peratus daripada itu dengan 882 lagi atau 76.5 peratus premis pengilangan dan MJA masih tidak mempunyai lesen.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Ops Lesen itu dijalankan serentak di seluruh negara pada 21 hingga 23 Julai yang lalu.

"Ops Lesen ini bertujuan bagi memastikan semua premis pengilangan AMS, AMB, Air dari MJA dan ais mempunyai lesen yang ditetapkan mengikut Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya yang dikuatkuasa KKM.

"Sebanyak 389 MJA disita dan sebanyak 4 premis ditutup sementara operasi bagi tujuan pembersihan dan permohonan pelesenan.

"Sementara itu, sejumlah 48 notis dikeluarkan kepada pemilik premis pengilangan dan MJA yang gagal mematuhi peruntukan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya," katanya tadi.

Beliau berkata, di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985, mana-mana premis pengilangan AMB, AMS, ais atau pengusaha MJA yang disabitkan kesalahan beroperasi tanpa lesen boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 10,000.00 atau penjara tidak melebihi dua (2) tahun.

"KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan akan meneruskan operasi seumpama ini dari semasa ke semasa di seluruh negara bagi memastikan kepatuhan terhadap pelesenan bagi premis pengilangan AMB, AMS, MJA dan ais mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

"Pengguna juga dinasihatkan membaca label pada produk atau mesin jual air dan melihat Nombor Lesen KKM yang terdapat pada label sebelum membeli air minuman atau ais," katanya.

Katanya, pengguna disarankan untuk melaporkan sebarang aduan atau penjualan produk air atau ais yang tidak berlesen kepada Pejabat Kesihatan Daerah/Kawasan/Bahagian atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau hubungi KKM melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.myatau Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Julai 2020 @ 4:45 PM