DR NOOR Hisham ketika sesi soal jawab bersama pihak media pada Majlis Sesi Libat Urus Media bersama Ketua Pengarah Kesihatan "Kesiapsiagaan KKM Dalam Menangani Pandemik Covid-19" di Kementerian Kesihatan. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
DR NOOR Hisham ketika sesi soal jawab bersama pihak media pada Majlis Sesi Libat Urus Media bersama Ketua Pengarah Kesihatan "Kesiapsiagaan KKM Dalam Menangani Pandemik Covid-19" di Kementerian Kesihatan. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Suraya Roslan


KUARANTIN 14 hari sebelum ke negara dalam gelembung perjalanan (travel bubble) dan melakukan dua ujian saringan Covid-19 antara cadangan yang dilihat untuk membuka semula pintu sempadan negara.

Gelembung perjalanan adalah usaha menghubungkan semula negara yang mencapai tahap kejayaan baik dalam membendung wabak Covid-19 di peringkat domestik.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perbincangan mengenai prosedur operasi standard (SOP) dengan beberapa negara termasuk Australia dan New Zealand sedang berjalan ketika ini walaupun pintu sempadan negara belum dibuka.

"Jika dipersetujui dan dilaksanakan, melalui cadangan ini mana-mana rakyat dalam gelembung perjalanan perlu menjalani kuarantin kendiri di rumah selama 14 hari serta melakukan dua ujian saringan calitan Covid-19 pada hari pertama dan ke-13 sebelum memulakan perjalanan.

"Kalau saya nak (ke) New Zealand, saya perlu kuarantin diri dan perlu buat ujian calitan pada hari pertama dan ke-13.

"Jika dua ujian calitan negatif, saya sudah boleh terbang ke sana dan tidak perlu lagi menjalani kuarantin di negara itu. Tetapi, perkara ini perlukan kerjasama dengan negara terbabit," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab pada Sesi Libat Urus bersama media dalam menangani pandemik Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sempadan negara masih belum dibuka, tetapi perbincangan mengenainya berada di peringkat akhir.

Menurutnya, ketika ini, perbincangan sudah dimulakan dengan Australia dan New Zealand, namun kedua-dua negara itu belum bersedia untuk membuka pintu sempadan negara mereka.

"Memang kita sudah adakan perbincangan dengan Singapura. Kita pada peringkat awal melihat SOP kepatuhan dan SOP yang boleh diterima pakai oleh kedua-dua pihak serta bagaimana untuk dilaksanakan.

"Bagaimana kita nak uruskan risiko yang bakal timbul daripada gelembung perjalanan. Perbincangan sedang dijalankan dan sekarang ini mungkin dalam peringkat akhir sebelum kita umumkan apa yang boleh dilaksanakan.

"Kita dapati ramai rakyat Malaysia bekerja di Singapura, dan ramai rakyat Singapura yang datang ke Johor Bahru," katanya.

Menurutnya, pihaknya menyedari terdapat risiko, namun apa yang perlu dilihat ialah bagaimana untuk kedua-dua pihak menguruskan risiko itu.

Justeru, katanya, kepatuhan terhadap SOP adalah penting dan bagaimana ia boleh diguna pakai di negara dalam gelembung perjalanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Julai 2020 @ 4:08 PM