MOHD Khairiel (tengah) bersama pegawainya menunjukkan senapang buatan sendiri yang dirampas. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
MOHD Khairiel (tengah) bersama pegawainya menunjukkan senapang buatan sendiri yang dirampas. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Abnor Hamizam Abd Manap


MEKANIK dan teman wanitanya yang menghasilkan senapang buatan sendiri ditahan polis pada 24 Julai lalu.

Turut ditahan, dua lelaki lain yang bertindak sebagai orang tengah serta pembeli senapang berkenaan.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Mohd Khairiel Mohd Arif berkata, pasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol dan D9, Bukit Aman menangkap mekanik dan teman wanitanya berusia 45 dan 35 tahun pada 4.50 petang apabila menahan kereta Perodua Kelisa dinaiki kedua-dua suspek di Felda Sungai Lui.

Beliau berkata, kedua-dua suspek dipercayai terbabit membuat dan menjual senapang buatan sendiri itu sejak setahun lalu.

"Pemeriksaan di dalam kereta suspek menjumpai satu unit barrel blocking, satu unit kelopak peluru, satu batang besi dan satu kotak tipman X7 phenom mekanikal.

"Mereka menghasilkan senapang buatan sendiri dan menjualnya kepada orang ramai dengan harga RM1,500 selaras," katanya pada sidang media di IPD Jempol, hari ini.

Mohd Khairiel berkata, dalam serbuan kedua di Felda Lui Timur, polis menahan seorang lelaki menjadi orang tengah menjual senapang berkenaan pada 6.30 petang.

Beliau berkata, lelaki berkenaan menerima komisen RM150 bagi setiap laras senapang dijual.

"Berikutan itu, polis menyerbu rumah lain di felda sama pada 7.30 malam sebelum menahan lelaki berusia 35 tahun kerana memiliki senapang buatan sendiri itu.

"Pemeriksaan di dalam stor berhampiran rumah suspek menjumpai selaras senapang buatan sendiri yang disimpan di dalam lubang tanah digali suspek.

"Semua suspek direman sehingga esok dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 8AAkta Senjata Api 1960," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Julai 2020 @ 10:30 PM