ShamsulIzrin (tengah) berbual dengan Nurul Natasya Che Husin di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Umno Kampung Carok Sikin, dekat sini. FOTO SAFURI KAMARUDIN
ShamsulIzrin (tengah) berbual dengan Nurul Natasya Che Husin di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Umno Kampung Carok Sikin, dekat sini. FOTO SAFURI KAMARUDIN
Safuri Kamarudin


WANITA dalam tempoh berpantang terpaksa membawa bayi lelaki berusia 39 hari ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) selepas rumahnya dinaiki air kejadian banjir kilat, awal pagi hari ini.

Nurul Natasya Che Husin, 23, dari Kampung Carok Bemban, Baling, berkata dia berpindah ke PPS pada 5 pagi apabila air naik hingga paras satu meter di dalam rumah.

Menurutnya, hujan lebat sehingga tengah malam menyebabkan air naik dengan cepat kerana kedudukan rumahnya berhampiran tebing Sungai Ketil.

"Apabila air semakin naik saya sekeluarga terpaksa berpindah ke tempat selamat kerana bimbang kejadian buruk berlaku.

"Meskipun dalam berpantang 39 hari saya terpaksa berpindah kerana bimbang terperangkap dalam rumah," katanya ketika ditemui di PPS Dewan Umno Kampung Carok Sikin, hari ini.

Nurul Natasya berkata, dia bersyukur anaknya tidak meragam seolah-olah faham apa yang berlaku dan gembira dibenarkan pulang pada petang ini kerana keadaan cuaca kembali pulih.

Sementara itu, Pengurus PPS itu, ShamsulIzrin Isahak berkata, amalan gotong-royong memasak di PPS tidak ada lagi seperti dilakukan sebelum ini.

Beliau berkata, amalan menjadi kelaziman di PPS ketika bencana banjir berlaku iaitu bergotong-royong memasak dalam kalangan mangsa tidak lagi dibenarkan untuk dilaksanakan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika ini.

"Amalan memasak secara bergotong-royong tidak dibenarkan bagi mematuhi SOP pada ketika PKPP.

"Jadi kita membuat tempahan makanan daripada pembekal berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai langkah pematuhan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) normal baharu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2020 @ 6:10 PM