Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (dua dari kanan) melihat gambaran pelaksanaan projek naiktaraf Taman Robina Eco Park yang kini sudah boleh digunakan penduduk setempat. FOTO Nur Izzati Mohamad
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (dua dari kanan) melihat gambaran pelaksanaan projek naiktaraf Taman Robina Eco Park yang kini sudah boleh digunakan penduduk setempat. FOTO Nur Izzati Mohamad
Nur Izzati Mohamad


PULAU Pinang tidak mampu berdepan gelombang kedua Covid-19 sekiranya virus itu kembali mengganas kerana ia bakal menyebabkan keadaan ekonomi menjadi semakin buruk.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, gelombang kedua akan memperlahankan ekonomi yang kini baharu menunjukkan pemulihan sejak kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Berikutan itu, katanya, kerajaan negeri bimbang jika gelombang kedua berlaku menyebabkan ramai tidak mampu berdiri semula yang ia memberi impak besar kepada ekonomi.

"Bagi mengelak ia terjadi semua perlu patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan jangan ada sikap sambil lewa.

"Ekonomi pula baharu dibuka dan menunjukkan perkembangan positif maka harus dijaga kerana jika negara berdepan gelombang kedua Covid-19 pasti amat sukar untuk berdiri atas kaki semula, tambahan pula keadaan belum pulih sepenuhnya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Taman Robina Eco Park, di Butterworth, hari ini.

Taman Robina Eco Park yang berkeluasan lebih 2.696 hektar mula dinaik taraf Oktober tahun lalu dengan kos RM1.464 juta.

Ia adalah lokasi tarikan terbaru yang boleh meningkatkan sektor pelancongan negeri itu selain menjadi tempat rekreasi serta riadah penduduk setempat.

Sementara itu, Chow berkata, sektor pelancongan negeri dalam fasa pemulihan apabila beberapa lokasi popular di Pulau Pinang mula menjadi tumpuan pada hujung minggu.

"Contohnya, hotel di kawasan Tanjung Bungah dan Batu Feringghi menawarkan promosi menarik hingga menarik ramai pelancong.

"Di Bukit Bendera pula, kedatangan pelancong mencecah 8,000 pada hujung minggu sama seperti sebelum Covid-19 yang ia sesuatu yang mengejutkan," katanya.

Beliau berkata, walaupun sektor pelancongan belum pulih sepenuhnya kerana tiada kemasukan pelancong asing, namun pelancongan domestik diharap dapat memacu ekonomi ke tahap lebih baik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2020 @ 1:40 PM