GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Raja Noraina Raja Rahim


KONONNYA duit sumbangan diterima sejak lebih tiga tahun lalu disalurkan ke empat rumah anak yatim daif di tiga negeri.

Namun, segala-galanya terbongkar apabila mangsa yang memberi derma itu mendapati kesemua rumah anak yatim berkenaan tidak pernah wujud.

Penipuan itu terbongkar selepas penderma yang juga lelaki berusia 72 tahun melawat lokasi rumah anak yatim yang dikatakan terletak di Tanah Merah, Kelantan; Simpang Empat, Pulau Pinang dan Ipoh, Perak pada awal bulan ini, malangnya ia tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, polis menerima laporan daripada ahli perniagaan terbabit yang mendakwa ditipu dua wanita membabitkan kerugian wang derma lebih RM500,000.

"Pada Mei 2017, mangsa dimaklumkan sepupunya iaitu lelaki berusia 78 tahun menerima panggilan telefon daripada bekas pekerja wanita berusia 34 tahun bertanya sama ada berminat untuk menghulurkan sumbangan kepada golongan anak yatim yang memerlukan bantuan pembiayaan seharian.

"Mangsa berhubung dengan wanita itu untuk mendapatkan penerangan lanjut sebelum bersetuju membiayai perbelanjaan golongan anak yatim.

"Sejak itu, mangsa memberikan kuasa kepada sepupu mengendalikan hal ehwal kewangan dalam urusan pindahan wang ke akaun peribadi wanita itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata, selepas tempoh tiga tahun pembiayaan itu diberikan mangsa dan rakan kemudian mahu melawat rumah anak yatim yang dibiayainya di tiga lokasi berasingan sebelum terkejut mendapati ia tidak wujud.

Berikutan itu, katanya, mangsa tampil membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Katanya, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dibantu JSJK Selangor dan Kelantan berjaya menahan dua wanita termasuk suspek utama berusia 24 dan 34 tahun.

"Hasil siasatan lanjut, kedua-dua berperanan sebagai pemilik akaun bank yang menerima sumbangan wang daripada pengadu," katanya.

Katanya, suspek utama kini direman empat hari manakala suspek kedua diberi jamin polis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2020 @ 7:35 PM