Hayati Ibrahim dan Amir Abd Hamid


KERAJAAN akan terus mengkaji keperluan menurunkan harga pelitup muka pada masa depan, selain memastikan bekalannya sentiasa mencukupi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, ketika ini, kerajaan bercadang menetapkan harga siling pelitup muka diturunkan sebanyak 30 sen mulai 15 Ogos ini.

Katanya, di peringkat borong, harganya akan diturunkan dari RM1.45 kepada RM1.15 manakala harga runcit dari RM1.50 kepada RM1.20 seunit.

GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.

"Rasional kita menurunkan harga pelitup muka adalah selaras dengan langkah kerajaan menimbangkan keperluan mewajibkan pelitup muka di tempat awam susulan pandemik Covid-19 yang belum berakhir.

"Selain itu, tinjauan dan pemantauan mengenai pengeluaran dan pengedaran pelitup muka didapati bekalan mencukupi termasuk yang diimport, soal bekalan tiada masalah, " katanya.

Beliau berkata demikian pada Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan kedua Datuk Seri Rohani Abdul Karim (GPS-Batang Lupar) yang ingin mengetahui rasional kementerian menurunkan harga pelitup muka.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2020 @ 1:00 PM