Baharom Bakar


LAMPU isyarat tandas dan buka paip untuk mencuci tangan dengan memijak pedal antara inovasi pengurusan Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Panjang, Kuala Terengganu bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) mengatasi penularan wabak Covid-19 dipatuhi murid.

Pengurusan sekolah itu membelanjakan RM150 untuk pemasangan empat unit lampu isyarat di luar tandas murid lelaki dan perempuan.

Guru Besar SK Pasir Panjang, Rosli Abd Razak berkata, empat lampu isyarat dipasang di luar tandas murid perempuan dan lelaki.

"Setiap murid yang masuk ke tandas perlu menekan suis pada barisan nyalaan mentol di papan panel.

"Jika mentol warna merah menyala pada papan panel, itu menandakan tandas sedang digunakan dan murid perlu menunggu sehingga lampu berwarna hijau menyala sebelum memasuki tandas," katanya selepas mengiringi Pengarah Jabatan Pendidikan negeri Terengganu (JPNT), Salim Abd Ghani yang melakukan tinjauan pematuhan SOP di SK Pasir Panjang, hari ini.

Rosli berkata, lampu isyarat tandas dan sinki pijak itu dicipta guru matematik, Norazhar Nordin.

Menurutnya, perbelanjaan membeli peralatan itu adalah hasil sumbangan semua guru.

"Peralatan termasuk paip pada sinki yang digunakan untuk mencuci tangan pula dihasilkan menggunakan bahan terpakai termasuk rantai basikal dan papan lapis.

"Guru dan murid tidak perlu membuka paip air sebaliknya hanya memijak pedal yang diperbuat daripada papan lapis," katanya.

SALIM (kiri) melihat murid menekan suis lampu isyarat bagi menandakan tandas sedang digunakan. FOTO Baharom Bakar
SALIM (kiri) melihat murid menekan suis lampu isyarat bagi menandakan tandas sedang digunakan. FOTO Baharom Bakar

Sementara itu, Salim berkata, beliau kagum dengan kreativiti guru kerana penggunaannya agak praktikal sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Selain projek lampu isyarat merah pada tandas, beberapa lagi kemudahan lain yang kreatif turut dicipta untuk kegunaan lebih 600 murid, termasuk penyediaan tong air dan sinki di luar kelas, serta peralatan botol cecair pembasmi kuman yang hanya perlu dipijak tanpa perlu menggunakan tangan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2020 @ 12:11 PM