GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Muhaamad Hafis Nawawi


LELAKI sempat melaram kereta curi selama tiga jam sebelum ditahan polis di Taman Bukit Mutiara, Kajang semalam.

Lelaki berusia 37 tahun yang memandu kereta Proton Wira ditahan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang pada 6 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, hasil pemeriksaan mendapati kereta yang digunakannya dilaporkan hilang di Ampang Jaya.

"Siasatan lanjut terhadapnya turut membongkar sebuah lagi kenderaan curi yang disimpannya di Vista Lavender Persiaran Kinrara, Puchong.

"Hasil maklumat itu, polis menahan seorang lagi lelaki berusia 38 tahun serta merampas sebuah lagi Proton Wira yang dilaporkan hilang bersabit kes di IPD Serdang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Zaid berkata, suspek pertama berasal dari Tawau, Sabah dan memiliki 18 rekod jenayah lampau serta pernah ditahan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 380 KK, Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 3 (1) Akta Pencegahan Dadah 1952.

"Lelaki kedua pula berasal dari Puchong dan semakan rekod mendapatinya mempunyai enam rekod jenayah lampau serta pernah ditahan mengikut Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka, Seksyen 379 KK, Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Polis turut merampas dua telefon bimbit, dua kunci kereta. Kedua lelaki berkenaan diserahkan ke IPD Ampang Jaya dan Serdang untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2020 @ 4:50 PM