GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


JURURAWAT sebuah hospital kerajaan di negeri ini kerugian RM227,000 selepas dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan Macau Scam.

Kejadian dipercayai berlaku apabila wanita berusia 40-an berkenaan menerima panggilan daripada sindiket terbabit pada 21 Februari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M Zambri Mahmud berkata, lelaki itu memperkenalkan diri sebagai anggota polis dan memaklumkan mangsa terbabit dalam kejadian langgar lari.

Katanya, panggilan terbabit kemudian disambung kepada lelaki lain kononnya pegawai polis di ibu pejabat polis kontinjen (IPK).

"Suspek memaklumkan mangsa kononnya terbabit dalam sindiket pengedaran dadah dan pengubahan wang haram sebelum meminta dia menyerahkan semua maklumat akaun bank miliknya untuk siasatan.

"Suspek turut meminta mangsa memindahkan semua wang simpanannya ke dalam satu akaun bank sebelum berjanji siasatan akan diselesaikan pada 15 Julai," katanya.

Menurutnya, mangsa yang bimbang kesalahannya diketahui majikan hanya mengikut arahan diberikan.

Bagaimanapun, katanya, mangsa hanya menyedari ditipu selepas mendapati wang simpanannya berjumlah RM227,000 dipindahkan ke dalam beberapa akaun bank tidak dikenali, semalam.

"Mangsa kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Julai 2020 @ 5:11 PM