DATUK Seri Amirudin Shari (tengah) mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Jenis (SKJ) Cina di Dengkil. FOTO Samadi Ahmad
DATUK Seri Amirudin Shari (tengah) mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Jenis (SKJ) Cina di Dengkil. FOTO Samadi Ahmad
Samadi Ahmad


FAKTOR hujan lebat luar biasa sejak Sabtu lalu menjadi punca dua ban di Taman Permata di sini, pecah hingga mengakibatkan 705 penduduk dipindahkan ke Pusat Pemindahan Banjir (PPS).

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kejadian hujan lebat termasuk di kawasan Hulu Langat menyebabkan air Sungai Langat melimpah ke kawasan penempatan penduduk.

Menurutnya, kuantiti air sungai yang melebihi paras kebiasaan turut memusnahkan dua ban di sini, sehingga menyebabkan banjir besar berlaku.

"Banjir besar seperti ini berlaku antara 10 ke 15 tahun sekali termasuk disebabkan kesan air pasang besar," katanya selepas mengadakan lawatan ke PPS di Dewan Sekolah Kebangsaan Jenis (SKJ) Cina di Dengkil, Sepang, Selangor, tadi.

Turut hadir, Yang di Pertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Mohd Fauzi Mohd Yatim dan Pegawai Daerah Sepang,Mohamad Zin A Hamid.

Sebanyak 705 penduduk yang terjejas banjir dipindahkan di PPS bermula Sabtu lalu dan jumlahnya semakin berkurangan berikutan ada sebahagian daripadanya sudah pulang bagi membersihkan kediaman masing-masing.

Tujuh PPS yang dibuka adalah di Dewan Taman Gemilang, Dewan Orang Ramai Dengkil, Sekolah Rendah Agama Dengkil (SRA), Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK), Dewan Perwakilan Komuniti Kampung (MPKK) Timah Langat (warga Mynmar), SRA Dato Ahmad Razali dan Dewan Orang Ramai Jenderam Hilir di sini.

Amirudin berkata, kerja-kerja mengepam keluar air banjir itu dimulakan semalam sebagai alternatif bagi membantu mengurangkan jumlah air di kawasan berkenaan.

Menurut beliau, Kerajaan Selangor juga akan memohon peruntukan berjumlah 500 juta dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang dijangka di bentangkan di Parlimen awal tahun depan bagi aktiviti penyelenggaraan Sungai Langat.

Menurut beliau, jumlah peruntukkan itu akan disalurkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor dalam usaha mengatasi banjir disebabkan sungai berkenaan.

"Kerajaan Selangor juga sedang membuat anggaran kajian berkenaan bencana yang dijangka siap pada awal tahun depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2020 @ 6:20 PM