FAZRUL dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan denda RM89,600 di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas pertuduhan salah guna kuasa. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
FAZRUL dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan denda RM89,600 di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas pertuduhan salah guna kuasa. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply


PENOLONG Kanan Pendaftar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan denda RM89,600 di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini atas pertuduhan salah guna kuasa untuk mendapatkan suapan, dua tahun lalu.

Tertuduh, Fazrul En Hassan, 41, turut berdepan hukuman penjara 12 bulan lagi sekiranya dia gagal menjelaskan denda berkenaan.

Keputusan itu dibuat Hakim Jamaludin Mat selepas tertuduh didapati bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Terdahulu, Jamaludin dalam penghakimannya berkata, hukuman berat wajar dikenakan ke atas kesalahan tertuduh kerana jenayah rasuah terutama dalam kalangan penjawat awam semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

"Jangan kerana desakan hidup, kamu sanggup bagi anak-anak makan duit haram. Jangan ulangi kesalahan sama dan bertaubatlah atas apa yang kamu lakukan," katanya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan daripada syarikat Bari Bina Enterprise bagi kerja-kerja pembekalan 14 set kerusi dan meja simen berjumlah RM17,920.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pusat Pengajian Sains Asas UMT di Kuala Nerus pada April 2018.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Farah Yasmin Salleh, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Hayyatuddin Muhamad.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Julai 2020 @ 3:50 PM