ONN Hafiz (kanan) bersama Ketua Kampung Pulau Tinggi, Rossana Hussin (dua kiri) ketika lawatan ke pulau itu. FOTO ihsan Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Johor
ONN Hafiz (kanan) bersama Ketua Kampung Pulau Tinggi, Rossana Hussin (dua kiri) ketika lawatan ke pulau itu. FOTO ihsan Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Johor
Adnan Ibrahim


KERAJAAN Negeri Johor akan merangka perancangan lebih ampuh sebagai langkah awal menerima kedatangan pelancong ke negeri ini selepas 31 Ogos nanti.

Untuk tujuan itu, produk pelancongan yang mampu menjadi tarikan kepada pengunjung akan dikemas kini bagi membolehkan mereka membuat pilihan tepat sebaik datang ke negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, melalui sumber itu nanti mereka tidak perlu lagi tercari-cari lokasi yang akan dituju.

"Kita akan kemas kini melalui semua rangkaian sosial media selain risalah-risalah yang mana akan memaparkan setiap tempat yang menarik untuk dikunjungi di negeri ini.

"Secara hakikatnya masih banyak lagi kawasan pelancongan di negeri ini yang belum diketengahkan malah ada tempat mempunyai kecantikan bertaraf dunia," katanya di Kampung Sri Lukut dekat Kluang, hari ini.

Sebelum itu, Onn Hafiz terlebih dahulu menjelajah ke beberapa pulau di Mersing selain ke Taman Negara Endau-Rompin untuk melihat sendiri tempat pelancongan di negeri ini.

Menurut Onn Hafiz, antara hasrat kerajaan negeri adalah untuk memastikan produk pelancongan yang masih belum diketengahkan itu dapat diperkenalkan kepada umum.

"Kita berharap selepas sahaja 31 Ogos nanti, semua urusan pelancongan sama ada dari dalam atau luar negara seperti Singapura dapat dipermudahkan prosedur operasi standard (SOP).

"Saya amat yakin dengan persediaan awal ini, semua kawasan pelancongan yang bakal diketengahkan ini sudah bersedia sepenuhnya daripada semua sudut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Julai 2020 @ 2:44 PM