NURIN Rashida seronok memanjat pokok menggunakan tali teknik 'pam' ketika menyertai Kursus Memanjat Pokok di PLPP Belimbing. FOTO Mohd Rafi Mamat
NURIN Rashida seronok memanjat pokok menggunakan tali teknik 'pam' ketika menyertai Kursus Memanjat Pokok di PLPP Belimbing. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


"PERASAAN takut hanya timbul selepas saya memanjat pokok balak, ketika di atas pokok, tidak terfikir bahaya," kata Nurin Rashida Mohamad Rozlan, 24.

Nurin Rashida berkata, memanjat pokok balak dengan tali selain dilengkapi peralatan moden menggunakan teknik 'pam' adalah aktiviti menyeronokkan.

Ia juga mencabar yang dapat menguji kekuatan fizikal serta mental.

Menurutnya, selepas tiga kali berpeluang menyertai aktiviti itu, keyakinan dirinya semakin kuat.

Kali pertama saya memanjat pokok balak ialah di hutan Chini, Pekan awal tahun ini. Saya mengambil masa setengah jam memanjat pokok balak setinggi lebih 40 meter.

"Saya mula minat memanjat pokok balak selepas melihat kakitangan Unit Memanjat, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).

"Mereka terbabit dengan aktiviti menebang pokok di kawasan Pusat Penyelidikan Tasik Chini, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)," katanya selepas menyertai Kursus Memanjat Pokok di Pusat Latihan Perhutanan Pahang (PLPP) Belimbing, Kuantan semalam.

Seramai 30 kakitangan JPNP dan Pusat Penyelidikan Tasik Chini UKM menyertai kursus tiga hari itu.

Peserta didedahkan aktiviti memanjat menggunakan tali dengan teknik pam secara teori dan praktikal.

Nurin Rashida yang bertugas sebagai Pembantu Penyelidik di Pusat Penyelidikan Tasik Chini UKM berkata, sepanjang kursus, dia memanjat pokok setinggi lebih 20 meter sambil meniti pada dahan sebanyak dua kali.

"Memanjat pokok menggunakan teknik ini memerlukan kekuatan kaki dan tangan untuk sampai ke dahan utama pokok sebelum memotong dahan merbahaya.

"Saya akan terus memanjat pokok balak menggunakan tali sekiranya diberi peluang selepas ini, selepas ini saya ingin mencuba teknik paku pada kasut yang hanya digunakan untuk memanjat pokok kelapa," kata anak ketiga daripada lima beradik itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Julai 2020 @ 8:27 PM