NURUL Husna Atiqah Shuib, diiringi anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh  atas 143 tuduhan pecah amanah melibatkan RM38,000, empat tahun lalu. FOTO Sharul Hafiz Zam
NURUL Husna Atiqah Shuib, diiringi anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh atas 143 tuduhan pecah amanah melibatkan RM38,000, empat tahun lalu. FOTO Sharul Hafiz Zam
Zahratulhayat Mat Arif


BEKAS akauntan sebuah syarikat swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini terhadap 143 pertuduhan pecah amanah berjumlah RM38,000.

Tertuduh Nurul Husna Atiqah Shuib, 32, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.

Ibu kepada tiga anak itu didakwa sebagai seorang akauntan syarikat Petrogaz Engineering Sdn Bhd di Lumut, melakukan pecah amanah iaitu dengan curangnya menyalahgunakan harta itu dengan menjadikan harta sendiri.

Tertuduh didakwa melakukan pecah amanah berjumlah keseluruhan RM38,000 antara November 2017 hingga April 2018.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 14 tahun dan denda.

Prosiding dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nur Farhana Hashim, manakala tertuduh diwakili peguam S Dharmanathan.

Nur Farhana memohon ikat jamin RM30,000 terhadap tertuduh, namun Dharmanathan merayu jaminan minimum kerana wanita itu perlu menanggung keluarganya.

"Suami tertuduh tidak bekerja selain dia perlu menanggung tiga anak berusia dua, enam dan lapan tahun. Malah, dia juga memberi kerjasama baik ketika siasatan polis," katanya.

Azman membenarkan jaminan RM15,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin selain mengarahkan pasportnya diserah kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri di Balai Polis Seri Manjung sekali dalam sebulan.

Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 10 September depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Julai 2020 @ 3:34 PM