GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


POLIS menahan seorang lelaki selepas dia enggan menyerahkan MyKad dan cuba melarikan diri ketika ditahan untuk pemeriksaan di pintu utama Kuil Sri Subramaniam, Batu Caves, Gombak, malam tadi.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, polis merampas sebilah pisau berukuran panjang 18.5 sentimeter yang sorok dalam kereta suspek.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, sepasukan anggota polis dari Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak dalam tugas rondaan cegah jenayah menahan Perodua Myvi di hadapan pintu utama Kuil Sri Subramaniam.

Menurutnya, polis memperkenalkan diri dan meminta pemandu menyerahkan kad pengenalan untuk diperiksa.

"Suspek enggan menyerahkan kad pengenalan. Selepas diminta beberapa kali, dia mencampakkan kad pengenalan dan cuba melarikan diri namun dapat ditahan selepas berlaku pergelutan.

"Pemeriksaan di kenderaan menjumpai sebilah pisau yang disorokkan di sebelah kerusi pemandu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Arifai berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (memiliki senjata berbahaya) dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan (menghalang penjawat awam menjalankan tugas).

"Suspek memiliki satu rekod kesalahan dadah dan ujian saringan air kencing mendapati dia positif methamphetamine," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2020 @ 7:37 PM