Maiamalina Mohamed Amin dan Yusmizal Dolah Aling


DEWAN Rakyat dimaklumkan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih belum berpuas hati dengan isu kerahsiaan dan keselamatan jika cadangan pengundian secara elektronik (e-undi) dilaksanakan pasca Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan memaklumkan, ketika ini SPR masih mengadakan libat urus dengan pelbagai pihak dari dalam dan luar negara bagi meneliti kaedah pengundian itu.

Katanya, penggunaan kaedah itu membabitkan beberapa cabaran baharu berkaitan isu kerahsiaan, keselamatan, kos dan pendidikan pengundi.

"(Jadi) Libat urus akan terus dilakukan sebelum sebarang keputusan dikemukakan kepada kerajaan," katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN-Padang Terap) yang meminta kerajaan menyatakan perkembangan cadangan mengaplikasikan kaedah e-undi dalam pilihan raya sebagai alternatif kepada kaedah konvensional pasca Covid-19.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, tidak menafikan banyak negara sudah melaksanakan kaedah e-undi antaranya Estonia, Brazil, India dan Amerika Syarikat (AS).

Namun katanya, laporan menunjukkan sistem e-undi di yang dilaksanakan di negara itu, terpaksa dikaji semula dan dibuat beberapa penambahbaikan.

"Akhirnya ada negara kembali kepada sistem manual. Banyak perkara menyebabkan keputusan pilihan raya dipersoalkan dan ianya terbukti sistem ini tidak begitu efektif," katanya.

Berikutan itu, katanya Malaysia mengekalkan kaedah sedia ada untuk perjalanan pilihan raya yang telus dan adil, selain menyesuaikan mengikut Garis Panduan Pencegahan Covid-19 selaras arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Berita berkaitan:

  • SPR sedia hadapi kemungkinan PRU15 [METROTV]
  • Takiyuddin Hassan di Dewan Rakyat. FOTO petikan siaran langsung RTM
    Takiyuddin Hassan di Dewan Rakyat. FOTO petikan siaran langsung RTM

    Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2020 @ 1:01 PM