Foto hiasan
Foto hiasan
Maiamalina Mohamed Amin dan Yusmizal Dolah Aling

SEBANYAK 2,124 tuntutan berjumlah lebih RM1 juta berkaitan Covid-19 diluluskan menerusi Skim mySalam.

Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia disalurkan selepas kerajaan memperluaskan skim terbabit kepada kumpulan B40 melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) setakat 5 Julai lalu.

"Manfaat hospitalisasi Skim mySalam sudah diperluaskan kepada golongan B40 yang dijangkiti Covid-19 dan mereka yang dikuarantin sebagai pesakit di bawah siasatan (PUI).

"Keseluruhan tuntutan (berkaitan Covid-19) yang diluluskan adalah 2,124 dengan jumlah yang sudah disalurkan sebanyak RM1,263,100," katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Tengku Zafrul menjawab soalan Alice Lau Kiong Yeing (PH-Lanang) yang meminta kerajaan menyatakan jumlah terkini penerima skim itu khususnya di Sarawak dan jumlah tuntutan berkaitan Covid-19.

Menurutnya lagi, sepanjang tahun ini sebanyak 16,893 tuntutan diluluskan dengan jumlah disalur RM20,819,250, berbanding tahun lalu 8,034 tuntutan bernilai RM11,545,400.

"Bagi Sarawak pula, jumlah penerima skim berkenaan yang diluluskan sehingga 30 Jun lalu adalah seramai 943 orang dengan jumlah yang sudah disalurkan sebanyak RM1,296,150," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2020 @ 10:37 AM