AHLI keluarga membaca al-Quran ketika menunggu ketibaan jenazah. (Gambar kecil) Allahyarham Mohd Khusairi. FOTO Rosman Shamsudin
AHLI keluarga membaca al-Quran ketika menunggu ketibaan jenazah. (Gambar kecil) Allahyarham Mohd Khusairi. FOTO Rosman Shamsudin
Rosman Shamsudin


"KALI terakhir saya jumpa abang semasa bulan puasa lalu. Abang minta saya buat bubur lambuk untuk diagihkan kepada penduduk Kampung Bahagia, Felda Sungai Behrang," kata Zuraidi Abdul Talib, 52, adik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib yang meninggal dunia di Hospital Bentong, Pahang, hari ini.

Katanya, pada mulanya dia menerima berita mengatakan abangnya rebah melalui kumpulan aplikasi Whatsapp keluarga.

"Apabila mendapat berita itu, saya terus menghubungi rakan abang saya yang ketika itu baru sampai di Hospital Bentong, namun dia memaklumkan abang masih dalam rawatan.

"Selang beberapa minit, saya dihubungi oleh rakan tadi. Saya terdengar dia menangis menyebabkan saya dapat rasakan abang sudah tiada," katanya ketika ditemui di Kampung Bahagia, Felda Sungai Behrang, hari ini.

Menurutnya, dia masih terkejut dan tidak sangka pertemuan dengan abang ketika masak bubur lambuk menjadi pertemuan terakhir.

Zuraidi berkata, arwah mengambil berat terhadap kebajikan rakyat dan ahli keluarga menyebabkan abangnya disenangi ramai.

Katanya, pemergian arwah amat dirasai dan kehilangan besar buat mereka sekeluarga serta penduduk di Tanjung Malim.

Sementara itu, tinjauan di rumah ibu Allahyarham mendapati ahli keluarga, saudara mara, penduduk setempat dan rakan berkumpul menunggu ketibaan jenazah.

Jenazah dijangkakan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Sungai Behrang 9 pagi esok.

Berita berkaitan

ADUN Slim meninggal dunia

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2020 @ 10:29 PM