AMINUDDIN HARUN
AMINUDDIN HARUN
Mohd Amin Jalil


KERAJAAN Negeri Sembilan akan menaik taraf terowong laluan air atau pembentung bawah tanah di Sendayan, Seremban, sebagai sebahagian daripada langkah menangani masalah banjir kilat.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerja menaik taraf terowong sepanjang kira-kira 20 meter akan bermula bulan depan dan dijangka siap dalam tempoh

lima bulan.

Katanya, pihaknya bersetuju untuk menyegerakan projek berkenaan bagi mengelak kejadian banjir yang memberi kesan kepada penempatan penduduk di kawasan terjejas.

"Kita (kerajaan negeri) memberi perhatian serius terhadap banjir kilat yang melanda di tiga daerah Isnin lalu dan akan berusaha mengatasinya secepat mungkin.

"Kita dapati selain hujan melebihi 120 milimiter per jam menyebabkan kawasan itu dinaiki air, kejadian air pasang di laut bermula 5.43 pagi turut memburukkan lagi keadaan banjir.

"Sehingga kini, terdapat 30 kejadian banjir di mana ia membabitkan lima kejadian di 24 lokasi di Port Dickson dan lima kejadian di 10 lokasi di Seremban," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Bilik Gerakan Wisma Negeri, di Seremban, hari ini.

Aminuddin berkata, pihaknya akan terus mengenal pasti lokasi lain yang terdedah kepada banjir kilat.

"Kita bersyukur kerana dalam kejadian baru-baru ini tiada kejadian tidak diingini berlaku dan pemantauan akan terus dijalankan berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu," katanya.

Dalam kejadian banjir kilat awal pagi Isnin lalu, sebanyak 308 daripada 72 keluarga dari tiga daerah iaitu Seremban, Rembau dan Port Dickson menerima kesan daripada

kejadian itu.

Kawasan yang terjejas teruk termasuk Kampung Jimah Lama dan Kampung Jengging di Port Dickson selain di Kampung Bemban Mambau di sini, dan tiga kampung lagi di Rembau iaitu Kampung Sega Hilir, Kampung Sega Hulu dan Kampung Sega Tengah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2020 @ 7:58 PM