DR Mohd Radzi Jidin, (dua kanan) turut sama memeriksa suhu sebelum melawat lokasi guru maut akibat jatuh dari balkoni di SK Batu Gajah, di sini, hari ini. FOTO Syaherah Mustafa
DR Mohd Radzi Jidin, (dua kanan) turut sama memeriksa suhu sebelum melawat lokasi guru maut akibat jatuh dari balkoni di SK Batu Gajah, di sini, hari ini. FOTO Syaherah Mustafa
Syaherah Mustafa


KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) sedia berbincang dengan pelbagai pihak berkaitan Prosedur Standard Operasi (SOP) membabitkan penyelenggaraan bangunan sekolah.

Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Jidin berkata, tindakan itu diambil susulan kejadian guru, Rosle Abdul Aziz, 54, maut selepas terjatuh dari balkoni tingkat satu bangunan sekolah, semalam ketika melakukan persiapan akhir sebelum pembukaan semula sekolah.

Katanya, KPM melihat kejadian yang berlaku sebagai satu pengajaran selain terus memberi komitmen terbaik bukan sahaja kepada barisan guru, pelajar malah seluruh kakitangan sekolah.

"Kita menginsafi dengan apa yang terjadi, serta melihat semula kejadian sebenar supaya ia tidak lagi berulang. Malah, saya difahamkan ketika kejadian mangsa hanya mahu meninjau hasil kerja di luar balkoni sebelum berlaku tragedi terbabit.

"Alhamdulillah, saya berkesempatan bertemu dengan ahli keluarga arwah selain turut serta solat jenazah dan tempat pengebumian pada pagi ini.

"Kejadian ini bukan sahaja suatu kehilangan besar buat warga Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Gajah, di sini, malah ia adalah dugaan berat kepada pihak KPM, namun, apa yang terjadi dijadikan iktibar agar semua lebih berhati-hati selepas ini," katanya.

Beliau ditemui dalam sidang media selepas melawat lokasi kejadian guru yang meninggal dunia selepad terjatuh dari balkoni di SK Batu Gajah di Tanah Merah, hari ini.

Dr Mohd Radzi, turut menasihati warga sekolah yang lain agar lebih peka dan berhati-hati supaya kejadian sebegitu tidak berulang lagi.

"Saya berharap seluruh keluarga arwah tabah dengan ujian ini. KPM juga sedia berbincang untuk mengambil langkah sewajarnya supaya keselamatan pendidik lebih terjamin.

"Apa yang berlaku ini di luar dugaan kita. Bagaimanapun, langkah berjaga-jaga harus diambil demi keselamatan dan kesejahteraab bersama," katanya.

Berita berkaitan:

  • 'Semoga rohnya dicucuri rahmat' - Dr Mohd Radzi
  • Jasa Cikgu Rosle ke akhir hayat [METROTV]
  • Guru maut ketika persiapan buka sekolah
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2020 @ 11:47 AM