Nor Fazlina Abdul Rahim


KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) merakamkan ucapan takziah kepada keluarga guru yang meninggal dunia akibat terjatuh dari balkoni tingkat satu Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Gajah, tengah hari tadi.

Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin menerusi status di Facebook turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah SWT.

"Hari ini kami menerima perkhabaran dukacita di atas pemergian Allahyarham Cikgu Rosle Abdul Aziz, guru di SK Batu Gajah, Tanah Merah.

"Arwah terbabit dalam kemalangan semasa melaksanakan kerja-kerja akhir bagi persiapan pembukaan semula sekolah.

"Seluruh warga KPM menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga arwah dan berdoa agar rohnya dicucuri rahmat Allah SWT," katanya.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, guru Matematik itu tergelincir dari balkoni belakang tingkat satu sekolahnya ketika melakukan persiapan akhir sempena pembukaan sekolah itu.

Mangsa yang terjatuh pada ketinggian tiga meter itu cedera parah di kepala akibat terkena longkang dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan lima orang anak berusia lima hingga 21 tahun.

Berita berkaitan

Jasa Cikgu Rosle ke akhir hayat [METROTV]

Guru maut ketika persiapan buka sekolah

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 10:19 PM