DBKL menyita barangan penjual sayur warga asing di sekitar Jalan Raja Bot, Jalan Haji Hussein 3, Kuala Lumpur, hari ini.  FOTO Ihsan DBKL.
DBKL menyita barangan penjual sayur warga asing di sekitar Jalan Raja Bot, Jalan Haji Hussein 3, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Ihsan DBKL.
Muhaamad Hafis Nawawi


DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terus menggempur penjaja warga asing yang berniaga sayur sekitar Jalan Raja Bot, Jalan Haji Hussein 3, Kuala Lumpur, hari ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, bertindak atas maklumat orang awam, DBKL dengan kekuatan 10 petugas meneruskan tindakan susulan terhadap penjaja warga asing yang menjalankan aktiviti penjajaan di kawasan terbabit pada 11 pagi, hari ini.

Menurutnya, sebanyak empat sitaan dilakukan terhadap penjaja warga asing yang menjual sayur.

"DBKL akan terus menggempur aktiviti penjaja warga asing ini dari semasa ke semasa manakala kesemua barangan sitaan sudah dibawa ke Stor Sitaan DBKL di Jalan Lombong, Cheras.

"DBKL memerlukan maklumat dan kerjasama orang ramai seperti persatuan dan memberi nasihat kepada warga asing supaya tidak boleh berniaga selain orang ramai tidak membeli dari warga asing," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nor Hisham berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penjajaan/perniagaan warga asing boleh menghubungi Pusat Panggilan Setempat DBKL di talian 1 800 88 3255 atau Pejabat-Pejabat Cawangan DBKL.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 2:16 PM