MESEJ yang tular di Facebook kononnya pembunuh upahan di Rawang yang tidak benar selepas lelaki terbabit membuat laporan polis. FOTO Facebook
MESEJ yang tular di Facebook kononnya pembunuh upahan di Rawang yang tidak benar selepas lelaki terbabit membuat laporan polis. FOTO Facebook
Muhaamad Hafis Nawawi


SEORANG lelaki yang hanya bekerja sebagai buruh dan menjual ikan di pasar pagi terkejut apabila tular di media sosial gambar dirinya bersama bekas teman wanita kononnya dirinya memiliki pistol dan seorang pembunuh upahan.

Mangsa berusia 51 tahun itu menyedari kejadian itu ketika berada di rumah rakannya di Batu Arang, dekat Gombak, 12.30 tengah malam tadi selepas melihat berita tular di laman sosial Facebook (FB) dengan menyatakan dirinya memiliki dua pucuk pistol dan pembunuh upahan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, susulan itu, lelaki terbabit tampil membuat laporan polis bagi menafikan berita yang tular itu.

Menurutnya, rakaman percakapan mangsa bekerja sebagai buruh dan menjual ikan di pasar pagi Country Homes Rawang sudah diambil.

"Pengadu menafikan mempunyai pistol dan juga pembunuh upahan malah dia menyatakan gambar wanita terbabit adalah bekas teman wanitanya warga Indonesia dan pengadu (mangsa) tidak lagi menjalin hubungan dengannya sejak awal tahun 2017.

"Dia juga tidak mengenali pemilik akaun facebook bernama 'Ajo Ajo Ariyo' dan pengadu tidak dapat mengesyaki sesiapa yang membuat kenyataan itu tambahan dia tidak memiliki akaun Facebook (FB)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Arifai berkata, polis memeriksa rumah mangsa dan beberapa rumah kenalannya di Batu Arang yang mana tiada sebarang senjata api ditemui.

"Pegawai penyiasat juga merekod percakapan rakannya yang mengenali lelaki terbabit hampir 20 tahun dan selalu membuat kerja bersama-sama.

"Saksi menyatakan pengadu tidak mempunyai pistol dan bukan pembunuh upahan sebaliknya dia hanya bekerja sebagai buruh kasar sahaja," katanya.

Beliau berkata, gambar bersama bekas teman wanita yang ditularkan itu adalah gambar lama yang dibuat dan disunting melalui telefon milik teman wanitanya itu sekitar 2016 yang berkemungkinan untuk memburuk nama baiknya.

"Siasatan awal pemilik FB terbabit didaftarkan di luar negara oleh individu yang tidak dikenali dan dipercayai warga Indonesia.

"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 1:15 PM