Maiamalina Mohamed Amin dan Amir Abd Hamid


WANITA pertama dipilih memegang jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said menyifatkan pelantikannya sebagai pengiktirafan terhadap kebolehan tanpa mengira gender.

Ahli Parlimen Pengerang itu turut merakamkan penghargaannya kepada Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyokong ketika beliau dicalonkan kerajaan untuk memegang jawatan itu.

"Ini membuktikan kerajaan tidak menafikan kebolehan tanpa memilih gender. Ada kelayakan boleh diberikan jawatan.

"Tidak mustahil satu hari nanti ada wanita yang akan dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat atau Dewan Negara di Malaysia.

"Saya melihat ini sesuatu yang baik untuk negara. Sebelum ini kita pernah melihat wanita dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara... Hari ini saya dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas penangguhan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 yang bermula hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengusulkan supaya Azalina dipilih sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat mengikut Peraturan Mesyuarat 6 (2) yang dibaca bersama Peraturan 4 (1), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Azalina berusia 57 tahun menggantikan Nga Kor Ming (PH-Teluk Intan) yang meletak jawatan dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun mengesahkan menerima surat peletakan jawatan itu.

Susulan peletakan berkenaan, usul keempat yang memohon ketetapan supaya kerusi itu dikosongkan Nga, ditarik balik.

Azhar yang tidak menerima calon lain bagi jawatan Timbalan Yang Dipertua daripada Ahli Parlimen pembangkang akhirnya melantik Azalina.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2020 @ 5:26 PM