KHIRUDIN (kanan) memberi kata semangat kepada anggota MOCSAR. FOTO Norsyazwani Nasri
KHIRUDIN (kanan) memberi kata semangat kepada anggota MOCSAR. FOTO Norsyazwani Nasri
Norsyazwani Nasri

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sarawak menubuhkan Pasukan Mencari dan Menyelamat di Gunung dan Gua (MOCSAR) sebagai alternatif menangani sebarang insiden di Taman Negara Mulu.

Pengarah JBPM Negeri Sarawak, Khirudin Drahman berkata, pasukan MOSCAR menjadi kaedah penyelesaian supaya sebarang insiden dapat ditangani dalam tempoh masa yang singkat.

"Kejadian lemas di Gua Rusa, Taman Negara Mulu yang menimpa pelancong warganegara Belanda dan pemandu pelancong warga tempatan pada 12 Julai tahun lalu benar-benar menguji kesiapsiagaan jabatan dalam menghadapi insiden.

"Begitu juga kebakaran hutan di Bukit Batu Bungan menuntut jabatan untuk mencari kaedah penyelesaian segera supaya sebarang insiden yang berlaku dapat ditangani dalam tempoh masa yang singkat," katanya.

Seramai 11 orang pasukan MOCSAR diberi surat pelantikan oleh Khirudin pada majlis itu, selain penyampaian 30 unit alat pemadam api kepada tiga kampung iaitu Kampung Melinau, KampungBatu Bungan dan Kampung Long Iman.

Katanya, idea penubuhan MOCSAR bermula sejak 2017 di mana JBPM Negeri Sarawak telah melaksanakan Latihan Penyelamatan yang melibatkan Pasukan STORM (Special Tactical Operation Rescue Management) di Taman Negara Mulu selama seminggu.

"Setelah perbincangan dan kertas cadangan penubuhan telah dipertimbangkan dan diluluskan oleh Pengurusan Tertinggi Ibu Pejabat JBPM, maka hari ini telah mencatatkan sejarah tertubuhnya satu pasukan Khas MOCSAR di Taman Negara Mulu.

"Dengan adanya pasukan MOCSAR ini, keyakinan pelancong untuk mengunjungkan Taman Negara Mulu akan lebih tinggi seterusnya merancakkan industri pelancongan Sarawak," katanya di Majlis Pelancaran Pasukan MOCSAR Mulu, hari ini.

Beliau turut menyampaikan sijil kepada bapa pemandu pelancong Roviezal Robin yang terkorban di Gua Rusa bagi menghargai keberanian yang ditunjukkan oleh mendiang.

Berita berkaitan:

  • Sedia tubuh skuad khas SAR gunung
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2020 @ 4:03 PM