Guru, Mohd Noruddin Rohmat, 33, menampal pita pelekat penjarakan sosial di asrama bilik lelaki di Sekolah Menengah Kebangsaan King George V (KGV), Seremban. FOTO arkib NSTP
Guru, Mohd Noruddin Rohmat, 33, menampal pita pelekat penjarakan sosial di asrama bilik lelaki di Sekolah Menengah Kebangsaan King George V (KGV), Seremban. FOTO arkib NSTP
Suraya Roslan


KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) memutuskan hanya murid tingkatan empat dan enam semester satu tahun 2020 di sekolah berasrama di bawah KPM akan kembali bersekolah pada 15 Julai ini.

KPM memaklumkan, bagi murid tingkatan satu, dua dan tiga di sekolah berasrama akan memulakan persekolahan pada 3 Ogos depan.

"Murid tingkatan satu hingga tingkatan tiga akan meneruskan pembelajaran yang berasaskan home-based learning sehingga mereka kembali semula ke sekolah pada 3 Ogos.

"Kami sentiasa berusaha memastikan semua murid dapat mengikuti pembelajaran secara bersemuka manakala dalam konteks sekolah berasrama, beberapa penambahbaikan dibuat ke atas tatacara pengurusan asrama berdasarkan perbincangan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Penambahbaikan ini dimasukkan sebagai tambahan kepada Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah dan diluluskan dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Bilangan 60 Tahun 2020 pada 9 Julai lalu.

"Keutamaan diberi kepada kumpulan murid ini adalah bagi memastikan mereka mempunyai masa yang mencukupi untuk persediaan menduduki peperiksaan awam pada 2021," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, keputusan itu terpakai kepada Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), Sekolah Sukan Malaysia (SSM), Sekolah Sukan Negeri (SSN) dan Sekolah Seni Malaysia (SSeM).

"KPM mengambil maklum akan pertanyaan ibu bapa berhubung kebenaran untuk murid pulang ke rumah sempena sambutan Aidiladha.

"Dengan penambahbaikan kepada prosedur operasi standard sedia ada, KPM tiada halangan membenarkan murid pulang ke rumah untuk menyambut Aidiladha bersama keluarga," katanya.

KPM sentiasa mengambil kira pandangan dan saranan KKM dalam memastikan semua murid sekolah berasrama dapat mengikuti pembelajaran

di sekolah dalam keadaan yang selamat.

"KPM memohon supaya ibu bapa, guru dan murid dapat memberi kerjasama bagi memastikan pembukaan semula sekolah khususnya sekolah berasrama berjalan dengan lancar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2020 @ 1:30 PM