Zatul Iffah Zolkiply


HARGA ayam di seluruh negara dijangka kembali stabil menjelang Ogos depan berikutan peningkatan kemasukan bekalan anak ayam.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, perbincangan bersama pembekal dan penternak memaklumkan kenaikan harga disebabkan kekurangan bekalan anak ayam dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kita menerima aduan berkaitan bekalan ayam dan harga ayam yang dilaporkan meningkat dengan mendadak hampir di semua negeri sejak kebelakangan ini.

"Jadi, mereka (pembekal dan penternak) memaklumkan kurang memasukkan bekalan anak ayam bagi mengelak kerugian sekali gus menyebabkan berlakunya kekurangan hasil ayam.

"Hasil perbincangan, mereka memberi jaminan bekalan akan kembali pulih menjelang Ogos nanti dan harga ayam juga akan kembali stabil," katanya selepas melakukan lawatan ke perusahaan arang tradisional di Kampung Kuala Menjing, Kuala Berang, hari ini.

Terdahulu, Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu turut meluangkan masa menyertai program ziarah kasih pesakit di sekitar kampung berkenaan.

Menurut Rosol, pihaknya juga yakin harga dan bekalan ayam pada musim sambutan perayaan Aidiladha akan kembali stabil.

Selain itu, katanya, beliau menjangkakan harga ayam tidak akan mengalami peningkatan pada musim Aidiladha kerana permintaan lebih tertumpu kepada bekalan daging.

"Pada musim Aidiladha, orang tak makan ayam sangat, lebih kepada daging korban. Jadi harga ayam kita jangka akan turun," katanya.

DATUK Rosol Wahid. FOTO Ghazali Kori
DATUK Rosol Wahid. FOTO Ghazali Kori

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2020 @ 3:52 PM