MUHAMAD ZIKRIL AZAN ABDULLAH
MUHAMAD ZIKRIL AZAN ABDULLAH
BERNAMA

ISU kekurangan bekalan ayam di Selangor yang menyebabkan kenaikan harga dijangka pulih dalam masa terdekat, kata Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri Muhamad Zikril Azan Abdullah.

Beliau berkata, melalui maklum balas yang diterima daripada pihak pengilang memproses ayam, jumlah kemasukan ayam di peringkat ladang sudah ditingkatkan.

Katanya, ia dijangka dapat menstabilkan semula harga ayam di pasaran.

"Kenaikan harga ayam ketika ini berpunca daripada pengurangan pengeluaran ayam ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu kerana permintaan berkurangan ketika itu.

"Pihak pengilang memaklumkan jumlah kemasukan ayam di peringkat ladang dikurangkan kira-kira 60 peratus kerana peladang kurang yakin dengan situasi pasaran yang menyebabkan mereka mengalami kerugian akibat permintaan berkurangan," katanya dalam kenyataan, di Shah Alam, hari ini.

Muhamad Zikril berkata, selepas PKP dilonggarkan, permintaan terhadap ayam dilihat semakin meningkat sekali gus memberi impak terhadap harga ayam ketika ini.

Menurutnya, maklum balas itu diperoleh hasil pemeriksaan mengejut anggota penguat kuasa KPDNHEP Selangor ke atas dua kilang memproses ayam, masing-masing di Kampung Melayu, Sungai Buloh dan Klang, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2020 @ 4:35 PM