FARAHDILA menunjukkan gambar kenangan arwah bapanya, Miskam yang meninggal dunia dipercayai sesak nafas selepas mandi Pantai Teluk Batik, semalam. FOTO Noor Hidayah Tanzizi.
FARAHDILA menunjukkan gambar kenangan arwah bapanya, Miskam yang meninggal dunia dipercayai sesak nafas selepas mandi Pantai Teluk Batik, semalam. FOTO Noor Hidayah Tanzizi.
Noor Hidayah Tanzizi


"SAYA lihat abah tercungap-cungap dan cuba memanggilnya berulang kali tetapi tidak menyahut sebelum abah menarik nafas panjang dan terus tidak sedarkan diri," kata Farahdila Miskam,38.

Farahdila adalah anak sulung kepada Miskam Kadar, 66, yang meninggal dunia dipercayai akibat sesak nafas selepas mandi di Pantai Teluk Batik, Lumut, semalam.

Farahdila berkata, dia bersama keluarga dan ibu bapa serta seorang ibu saudara dan adik lelakinya ke pantai berkenaan untuk bercuti dengan menaiki kereta berasingan.

"Kami mandi di laut pada 5.30 petang dan selepas 40 minit berendam dan berenang abah naik ke darat, dia mengadu penat. Suami segera gosok badan abah dan selimutkan dengan tuala untuk menghangatkan badannya.

"Ketika itu abah hanya berzikir saja dan saya terus ke menara penyelamat Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk mendapatkan bantuan. Pasukan perubatan yang tiba di lokasi kemudian mengesahkan abah sudah tiada," katanya sayu ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Seri Manjung, hari ini.

Menurutnya, selain kencing manis, arwah bapanya yang sebelum ini bertugas sebagai amil zakat mempunyai penyakit asma tetapi tidak kronik dan hanya sesekali saja diserang penat.

"Abah beriya-iya ajak kami ke Teluk Batik dan saya pujuk ajak pergi minggu depan tetapi abah kata lewat sangat. Jadi saya ajak pergi Khamis lalu kerana saya dan keluarga sudah berada di Pangkor.

"Abah terus setuju dan dia gembira sangat, lebih menggembirakan dia dan emak (Rohani Abdul Salam, 56) apabila adik (Muhamad Faizal, 31) bersama isteri dan anaknya beri kejutan dengan menyertai kami.

"Abah berendam dalam air laut kerana badannya gatal-gatal, berulang kali dia ucapkan terima kasih kerana membawanya ke Teluk Batik dan cakap kalau ada dua lagi adik saya pasti lebih meriah," katanya.

Farahdila yang juga kakitangan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak berkata, bapanya tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara cuma warga emas itu teruja memasang panjut di sekeliling rumah bermula 10 malam terakhir Ramadan hingga seminggu Aidilfitri.

"Abah seorang yang tegas tetapi penyayang, malah amat lembut dengan cucunya. Apabila rentas negeri sudah dibenarkan abah sangat teruja menunggu kami empat beradik balik kampung terutama tiga adik yang menetap di luar Ipoh.

"Saya lihat abah gembira sangat apabila kami semua balik dan berkumpul. Abah pasang panjut supaya kami dapat rasa kemeriahan suasana Aidilfitri," katanya yang memaklumkan bapanya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Meru Raya, Ipoh.

Harian Metro semalam, melaporkan lelaki warga emas terbabit mengadu kepenatan dan kemudian rebah dan tidak sedarkan diri selepas mandi di pantai berkenaan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Berita berkaitan

  • Ajal selepas mandi laut
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2020 @ 1:23 PM