ANGGOTA penguatkuasa KPDNHEP melakukan pemeriksaan di kilang pemprosesan ayam di Selangor. FOTO ihsan KPDNHEP
ANGGOTA penguatkuasa KPDNHEP melakukan pemeriksaan di kilang pemprosesan ayam di Selangor. FOTO ihsan KPDNHEP
Nurul Hidayah Bahaudin


PENGURANGAN bilangan pengeluaran ayam ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) antara maklum balas diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) daripada pengilang berhubung isu kenaikan harga ayam ketika ini.

Pengarah KPDNHEP Selangor Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan mengejut di dua kilang memproses ayam di Sungai Buloh dan Klang, Selangor, semalam.

Katanya, operasi bermula 10 pagi itu bertujuan bagi mendapatkan maklumat berkaitan isu berkenaan.

"Pemeriksaan dilakukan ini bagi membantu pihak kami membuat kajian dan analisis seterusnya bagi mencari mekanisme terbaik untuk menyelesaikan isu kenaikan harga ayam.

"Hasil maklum balas diterima daripada pihak pengilang itu, punca berlakunya kenaikan harga ayam ketika ini adalah kerana pengurangan bilangan pengeluaran ayam ketika tempoh perlaksanaan PKP sebelum ini akibat permintaan berkurangan pada waktu itu," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Muhamad Zikril berkata, pihak pengilang juga memaklumkan bahawa punca lain kenaikan harga ayam ketika ini adalah kerana jumlah kemasukan ayam di peringkat ladang dikurangkan.

"Dianggarkan kira-kira 60 peratus pengurangan berlaku kerana peladang kurang yakin dengan situasi pasaran yang menyebabkan mereka mengalami kerugian akibat permintaan berkurangan terhadap ayam ketika tempoh PKP lalu.

"Bagaimanapun selepas PKP dilonggarkan, permintaan terhadap ayam dilihat semakin meningkat sekali gus memberi impak terhadap harga ayam ketika ini.

"Malah, jumlah kemasukan ayam di peringkat ladang sudah mula ditingkatkan dan bekalan ayam dijangka pulih dalam tempoh terdekat serta dijangka dapat menstabilkan semula harga bahan mentah itu di pasaran," katanya.

Beliau berkata, pihaknya yakin bahawa isu kenaikan harga ayam dapat diatasi dalam masa terdekat.

"Kami berharap orang ramai dapat berbelanja dengan berhemah. Pada masa sama, KPDNHEP sentiasa komited dan mengutamakan kepentingan pengguna terutama bagi menstabilkan semula harga ayam di pasaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2020 @ 11:30 AM