Yusmizal Dolah Aling


KUALA LUMPUR: Platform aduan yang disediakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bukan hanya terhad kepada isu membabitkan kementerian itu, malah secara menyeluruh demi memudahkan pengguna.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, biarpun ada aduan di luar bidang kuasa, pihaknya tetap menerima permasalahan diajukan orang ramai sebelum dipanjangkan kepada pihak yang terbabit untuk tindakan.

Katanya, ia sebagai satu khidmat kepada masyarakat yang mencari saluran untuk mengadu masalah tanpa sekatan bagi membolehkan luahan mereka didengari.

"ita sediakan khidmat ini melalui pelbagai saluran di seluruh negara. Walaupun bukan bidang kita, tapi kita terima dan kemudian salurkan kepada pihak yang khusus dengan aduan berkenaan. Kita faham orang ramai tidak ada tempat mengadu," katanya ketika membuat kunjungan ke Balai Berita sempena ulang tahun ke-63 Berita Harian hari ini.

ROSOL (tiga dari kanan) diiringi Husain Jahit (dua dari kanan) meninjau suasana kerja meja berita Harian Metro  semasa lawatan ke Berita Harian sempena Hari Ulang Tahun BH.  FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
ROSOL (tiga dari kanan) diiringi Husain Jahit (dua dari kanan) meninjau suasana kerja meja berita Harian Metro semasa lawatan ke Berita Harian sempena Hari Ulang Tahun BH. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI

Rosol turut meluangkan masa meninjau operasi Harian Metro dan mendengar taklimat Pengarang Kumpulan Harian Metro Husain Jahit.

Rosol berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu, kementeriannya menerima 38,145 aduan merangkumi pelbagai masalah yang disalurkan kepada Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) kementerian.

Menurutnya, ketika ini aduan diterima daripada pengguna adalah mengikut isu semasa dan ia diberi perhatian daripada pegawai bertugas.

"Setakat ini, ikut isu. Kalau sebelum ini isu harga ayam, maka banyaklah aduan. Begitu juga dengan pelitup muka, bila ada masalah itu, ramai yang mengadu.

"Tapi kita juga terima aduan lain, KPDNHEP menjadi platform aduan rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2020 @ 6:28 PM