DR MOHD RADZI MD JIDIN
DR MOHD RADZI MD JIDIN
BERNAMA

PENGUSAHA taman didikan kanak-kanak (tadika) perlu berbincang dengan ibu bapa terlebih dahulu, sekiranya mahu menaikkan kadar yuran pasca Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Pengerusi Persatuan Tadika Malaysia (PTM), Eveleen Khoo berkata, tindakan itu perlu bagi mendapatkan persetujuan ibu bapa supaya tidak wujud ketidakpuasan hati dan mereka bersedia sewajarnya, jika pihak tadika ingin menaikkan kadar yuran secara tiba-tiba.

Walaupun tidak menolak kemungkinan sesetengah tadika terpaksa menaikkan kadar yuran, bagi menampung peningkatan kos menyediakan keperluan pencegahan Covid-19, beliau berkata, setakat ini pihaknya belum menerima maklumat atau aduan ibu bapa berkenaan isu itu.

"Mungkin pengusaha perlu membeli pelitup muka dan pensanitasi tangan, selain perlu menyediakan makanan kepada murid bagi tadika yang tidak membenarkan mereka membawa makanan dari rumah masing-masing.

"Hanya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) boleh meluluskan sama ada yuran itu boleh naik atau tidak, tadika (yang berdaftar dengan KPM) tidak boleh sesuka hati naikkan yuran, perlu melalui KPM dan Jawatankuasa Institusi Pendidikan Swasta," katanya kepada Bernama, hari ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Dr Mohd Radzi Jidin ketika ditanya mengenai hal berkaitan yuran tadika pada sidang medianya di Putrajaya, berkata : "Ini kali pertama saya dengar, saya akan mendapatkan maklumat mengenainya."

Prasekolah, tabika dan taman asuhan kanak-kanak (taska) dibuka kembali di seluruh negara mulai hari ini, selepas lebih tiga bulan ditutup susulan pandemik Covid-19.

Dilaporkan hari ini terdapat sebilangan pengusaha tadika menaikkan kadar yuran antara 10 hingga 15 peratus, dengan alasan perlu menampung peningkatan kos kesan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), selain jumlah murid semakin berkurangan.

Sependapat dengan Eveleen, Pengerusi Pertubuhan Penggalak Membaca Malaysia (PPMM), Chahaya Abdul Manan berkata, pengusaha tadika perlu terlebih dahulu merancang sesi pembelajaran sebelum membuat keputusan menaikkan yuran.

"Mereka boleh menjalankan dua sesi pembelajaran, misalnya sebilangan murid di sebelah pagi dan selebihnya boleh dibuat pada waktu petang, jadi mungkin mereka tak perlu naikkan yuran, ia bergantung kepada penyelesaian pengusaha sendiri.

"Namun, kalau pengusaha sudah fikir tapi masih tak dapat cara untuk tampung kos, mereka terpaksa naikkan yuran memandangkan kos operasi tadika tinggi selain membayar kos sewa dan gaji guru," katanya.

Chahaya berkata, tidak mustahil ada sesetengah ibu bapa akan menukar anak mereka ke tadika lain, susulan terbeban dengan kenaikan yuran di tadika sedia ada.

Meluahkan kebimbangannya, beliau berkata, keadaan itu mungkin akan mempengaruhi emosi anak kerana perlu menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu.

Bagaimanapun, rata-rata pengurusan tadika yang dihubungi Bernama memaklumkan tidak mengambil langkah itu, malah ada premis menawarkan potongan harga yuran bagi membantu ibu bapa terbeban dengan impak pandemik itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2020 @ 10:05 PM