ABD Latiff berbual bersama murid taska, Faruq Faruqi Mohd Fitri, 4 (kanan) dan Aisy Habib Hafiy Mohd Hanif, 4, ketika lawatan ke Tabika dan Taska Kemas Bunga Raya, Presint 11, Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
ABD Latiff berbual bersama murid taska, Faruq Faruqi Mohd Fitri, 4 (kanan) dan Aisy Habib Hafiy Mohd Hanif, 4, ketika lawatan ke Tabika dan Taska Kemas Bunga Raya, Presint 11, Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Noor Atiqah Sulaiman


KEMENTERIAN Luar Bandar (KLB) bercadang membuka Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) secara persendirian bagi membolehkan golongan M40 mendaftarkan anak mereka di taska terbabit.

Menterinya, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, pihaknya mendapati banyak permintaan daripada golongan berkenaan untuk mendaftarkan anak mereka namun tidak layak kerana pendapatan melebihi syarat ditetapkan.

Abd Latiff berkata, pembukaan premis baharu itu tidak perlu menggunakan modal yang besar kerana hanya menggunakan bangunan yang sedia ada di negara ini.

"Kebanyakan golongan M40 ini tidak layak mendaftar anak mereka di Kemas kerana gaji mereka terlebih sedikit sahaja daripada syarat yang ditetapkan.

"Jadi saya fikir ia tidak adil kepada golongan ini kerana mereka juga perlu menghantar anak ke taska kerana kekangan kerja.

"Sebelum ini golongan M40 perlu menghantar anak mereka ke taska swasta dan dikenakan yuran yang tinggi sehingga RM600 sebulan, mungkin dengan Kemas persendirian ini yuran yang dikenakan rendah sedikit berbanding dengan yuran Kemas yang sedia ada," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Taska Kemas Bunga Raya, Presint 11, Putrajaya, hari ini.

Ditanya adakah Taska Kemas persendirian itu akan dibuka di seluruh negara, Abd Latiff berkata, pihaknya akan melihat kepada permintaan golongan terbabit terlebih dahulu.

"Mungkin kita akan adakan projek perintis terlebih dahulu, sekiranya bersesuaian dan mendapat permintaan dari M40, kita akan teruskan.

"Antara yang mendapat permintaan tinggi ialah di Putrajaya, jadi kita akan fikirkan bagaimana untuk atasi masalah ini," katanya.

Sementara itu, mengenai lawatannya ke taska berkenaan Abd Latiff berkata beliau berpuas hati dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) dilaksanakan dan mendapati kemudahan digunakan juga sama seperti di kawasan luar bandar.

"Ini menunjukkan pembelajaran awal kanak-kanak ini menggunakan pendekatan sama, tidak kira berada di bandar atau luar bandar.

"Selain itu, sistem pembelajaran juga diadakan secara penggiliran kerana tidak mahu kedudukan kanak-kanak ini di dalam taska terlampau padat.

"Pihak Taska ini perlu bahagikan kanak-kanak ini kepada dua kumpulan, iaitu kumpulan pertama akan belajar di sekolah manakala kumpulan kedua pula akan dipantau menerusi kelas dalam talian.

"Keesokan harinya, kumpulan kedua akan memasuki sekolah dan kumpulan pertama dipantau menerusi kelas dalam talian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2020 @ 4:52 PM