Rafiqah Dahali
am@hmetro.com.my


SEBANYAK 1,291 buah prasekolah kerajaan dan swasta di Sabah sudah dibuka semula dan menerima kehadiran murid pada hari ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JKNS), Dr Mistrine Radin berkata, antara prasekolah yang terbabit adalah prasekolah jenis sekolah kerajaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan prasekolah swasta yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Sebanyak 886 prasekolah kerajaan yang dibuka semula melibatkan murid seramai 29,989 orang dan 1,326 orang guru.

"Manakala, bagi prasekolah swasta pula, terdapat 405 pra sekolah melibatkan murid seramai 24,081 orang dan guru seramai 1,930 orang," katanya.

Beliau ditemui media selepas membuat tinjauan di prasekolah SK Buang Sayang Papar, Papar, hari ini.

Turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah Papar, Suhaimi Matshah dan guru besar SK Buang Sayang, Basnih Maidin.

Mistrine berkata, ada beberapa prasekolah yang masih belum beroperasi di beberapa daerah yang terjejas dengan banjir baru-baru ini.

"Terdapat 18 prasekolah di bawah KPM yang belum beroperasi disebabkan banjir yang melanda Sabah baru-baru ini.

"Sebanyak sembilan buah prasekolah yang terjejas di daerah Papar, empat buah prasekolah di Kota Belud, empat buah prasekolah di Beaufort dan sebuah prasekolah di Tenom,"

Menurutnya, antara sembila buah prasekolah yang terjejas di Papar adalah SK Kaiduan, SK Belatik, SK Gana, SK Kambizaan, SK Kelatuan, SK Kimanis, SK Sumbiling, SK Tampasak dan SK Daingin.

Di Kota Belud, empat buah prasekolah yang terlinat adalah SK Pituru, SK Tempasuk, SK Sembirai dan SK Kesapang.

Manakala di Beaufort pula, empat buah prasekolah yang masih belum beroperasi adalah SK Suasa, SK Bangkalalak, SK Jabang dan SK Lagong.

Di Tenom pula hanya sebuah prasekolah terlibat iaitu SK Inubai.

Dalam pada itu, Mistrine berkata pihaknya berpuas hati dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan dan ibubapa murid juga memberi kerjasama dan kepercayaan penuh kepada guru.

Media sebelum ini melaporkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memgumumkan pembukaan prasekolah dan Taman Didikan Kanak-Kanak (TADIKA) dibuka sepenuhnya bermula 1 Julai ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah, Dr. Mistirine Radin (kiri) ketika membuat tinjauan pada hari pertama persekolahan murid prasekolah di Sekolah Kebangsaan Buang Sayang, Papar selepas tiga bulan sekolah ditutup untuk mengelakkan penularan wabak COVID-19. FOTO MALAI ROSMAH TUAH.
Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah, Dr. Mistirine Radin (kiri) ketika membuat tinjauan pada hari pertama persekolahan murid prasekolah di Sekolah Kebangsaan Buang Sayang, Papar selepas tiga bulan sekolah ditutup untuk mengelakkan penularan wabak COVID-19. FOTO MALAI ROSMAH TUAH.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2020 @ 1:40 PM