DR Mansor. FOTO Danial Saad
DR Mansor. FOTO Danial Saad
Nur Izzati Mohamad

KEMENTERIAN Pengajian Tinggi (KPT) sedang memperkemaskan prosedur operasi standard (SOP) untuk kemasukan semula penuntut ke pusat pengajian tinggi (IPT) yang akan bermula Oktober ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Mansor Othman berkata, SOP bagi kemasukan penuntut ijazah sarjana muda dan pasca siswazah mod penyelidikan di IPT awam serta swasta sudah sedia ada.

"KPT sebelum ini sudah buat keputusan untuk buka semula pusat pengajian secara berperingkat iaitu dimulai dengan pendaftaran pelajar baharu mengikut SOP yang ditetapkan.

"Bagi kemasukan semua pelajar pula, SOP juga sudah ada dan ia sedang dimurnikan (diperkemaskan) supaya pusat pengajian dapat beroperasi sepenuhnya pada Oktober ini dalam keadaan baik," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja di Yayasan An Nahdhoh di Permatang Pauh, dekat Bukit Mertajam, hari ini.

Katanya, pendaftaran penuntut baharu hanya dilakukan secara dalam talian,

"Semua aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) perlu dilaksanakan secara dalam talian sehingga hujung tahun ini dan tidak dibenarkan secara bersemuka," katanya.

Dalam pada itu, Mansor berkata, KPT perlu menyesuaikan sistem pendaftaran penuntut dengan mereka bentuk semula minggu suai kenal bersesuaian dengan keadaan negara yang berdepan penularan wabak Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2020 @ 6:49 PM