DATUK Seri Fatimah Abdullah mengadakan sidang media selepas mesyuarat SOP pendaftaran TASKA di Bangunan Baitulmakmur, hari ini. FOTO MOHD ROJI KAWI
DATUK Seri Fatimah Abdullah mengadakan sidang media selepas mesyuarat SOP pendaftaran TASKA di Bangunan Baitulmakmur, hari ini. FOTO MOHD ROJI KAWI
FOTO arkib NSTP
FOTO arkib NSTP
Mohd Roji Kawi


ADUAN jiran yang tidak suka dengan suara kanak-kanak menyanyi antara punca beberapa Taman Asuhan Kanak-Kanak (taska) dan Taman Didikan Kanak-Kanak (tadika) di Sarawak terpaksa berpindah ke tempat lain.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, dari 1 Januari tahun lalu hingga 31 Mei tahun ini, sebanyak sembilan aduan diterima daripada jiran yang tidak mahu taska beroperasi di sebelah rumah.

Beliau berkata, dalam tempoh sama, tiga aduan diterima daripada jiran terhadap operasi tadika.

"Masalah itu biasanya timbul di kawasan perumahan apabila jiran tidak suka mendengar bunyi bising kanak-kanak termasuk tidak mahu mendengar kanak-kanak menyanyi malah ada yang rasa tertekan apabila mendengar kanak-kanak menangis.

"Berikutan aduan yang diterima, ada Taska terpaksa berpindah sebanyak empat kali," katanya pada sidang media selepas mesyuarat prosedur operasi standard (SOP) pendaftaran taska di Sarawak di Bangunan Baitulmakmur, di Petra Jaya, hari ini.

Fatimah berkata, selain itu dua taska terpaksa dipindahkan kerana beroperasi di jalan mati dan enam lagi tidak diluluskan permohonan untuk beroperasi kerana lokasinya berada di persimpangan jalan yang sibuk.

Manakala bagi tadika pula katanya, satu permohonan ditolak kerana lokasi yang dicadangkan juga berada di persimpangan jalan.

"Sebab itulah, kami sentiasa memaklumkan kepada pengendali taska dan tadika supaya meneliti dengan terperinci lokasi yang dicadangkan kerana kita tidak mahu masalah timbul kemudian," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sehingga 9 Jun lalu, sebanyak 119 Taska swasta berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKM) manakala tadika swasta pula sebanyak 484.

"Sehingga 31 Mei lalu, sebanyak 28 taska dan lima tadika swasta masih dalam proses kelulusan oleh pihak Jabatan Tanah dan Survei," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Jun 2020 @ 5:06 PM