KENDERAAN yang digunakan suspek untuk menjalakan aktiviti penyeludupan PATI ketika ditahan dalam serbuan di pangkalan haram Kotak.
KENDERAAN yang digunakan suspek untuk menjalakan aktiviti penyeludupan PATI ketika ditahan dalam serbuan di pangkalan haram Kotak.
Syaherah Mustafa

CUBAAN lelaki menyeludup dua wanita warga Laos ke negara ini menerusi pangkalan haram Kotak di Rantau Panjang gagal apabila ditahan dalam operasi, semalam.

Difahamkan, suspek berusia 40 tahun yang dipercayai aktif melakukan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan pada 10.45 malam hasil risikan dan maklumat awam.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am, Superintendan Azhari Nusi berkata, pihaknya melakukan intipan selama seminggu bagi mengenal pasti modus operandi suspek sebelum serbuan dibuat.

Menurutnya, anggota bertindak menahan suspek selepas bertembung dengannya yang menaiki sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan.

"Sebaik memperkenalkan diri, anggota melakukan pemeriksaan di dalam kereta, namun tidak menemui barangan menyalahi undang-undang.

"Namun, terdapat dua wanita sedang menyorok di but belakang kereta. Hasil pemeriksaan lanjut, kedua-dua wanita terbabit tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

"Hasil soal siasat, suspek mengaku mahu membawa kedua-dua wanita itu ke Kota Bharu kerana mahu berjumpa dengan teman lelaki mereka," katanya.

Azhari berkata, suspek dipercayai giat menjalankan aktiviti terbabit di kawasan sempadan sejak beberapa tahun lalu dengan menggunakan kenderaan berbeza bagi mengaburi pihak berkuasa.

Katanya, ketiga-tiga individu itu ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 26J Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Seksyen 6(1)(c) dan Sekyen 5(2) Akta Imigresen 1953/63.

"Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dalam Ops Benteng Covid bagi menyekat kemasukan Pati dan memperkukuhkan kawalan sempadan negara bagi mengekang penularan Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Jun 2020 @ 6:02 PM