Mohamed Farid Noh


"SAYA tidak mahu sentuh pasal politik ketika ini," kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebaliknya, Muhyiddin berkata, perkara yang menjadi keutamaannya kini adalah kebajikan rakyat, pembangunan negara, ekonomi dan kesihatan rakyat.

"Ramai orang tanya saya, mengapa tidak cakap atau ulas mengenai politik yang berlaku di luar sana.

"Saya sudah 40 tahun dalam bidang politik namun tidak mahu sentuh pasal politik ketika ini.

"Apa yang jadi perhatian utama saya ketika ini adalah kebajikan rakyat, pembangunan negara dan ekonomi serta menjaga kesihatan rakyat," katanya disambut tepukan gemuruh pemimpin masyarakat di Dewan Serbaguna Bukit Gambir, dekat Muar, hari ini.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di dewan berkenaan, hari ini.

Turut hadir, isterinya, Puan Sri Norainee Abdul Rahman dan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gambir berkata, pembukaan sektor ekonomi yang dilakukan kerajaan tidak dilakukan secara tergesa-gesa, sebaliknya bersandarkan data dan kajian pelbagai pihak.

"Ekonomi kita kehilangan RM2.4 bilion sehari apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

"Gabenor Bank Negara, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus memberitahu berita yang membimbangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi, jika ekonomi tidak dibuka, seluruh sistem perbankan negara akan runtuh dengan nilai kerugian RM1 trilion.

"Saya terpaksa buat keputusan untuk buka semula ekonomi secara beransur-ansur serta perlu bertindak dengan berani dan tegas.

"Jika tidak ekonomi kita akan lumpuh. Pekerja akan dibuang. Tidak boleh ada pilihan lain kecuali buka semula ekonomi negara secara beransur-ansur sehingga sekarang sudah 95 sektor ekonomi yang sudah dibuka," katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin turut melahirkan kebimbangan sejuta pekerja di negara ini akan hilang pekerjaan terutama anak muda berikutan kesan pandemik Covid-19.

"Sektor ekonomi sudah dibuka namun ia masih perlahan. Oleh itu, saya minta kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya ambil langkah proaktif bagi mempermudahkan perniagaan di kawasan masing-masing.

"Contohnya pengeluaran lesen perniagaan oleh PBT. Jika prosesnya macam biasa namun keadaan sekarang normal baharu, dengan pemohon perlu menunggu berbulan-bulan sehingga enam bulan untuk dapatkan lesan, itu amat lama.

"Ada pula sebelum PKP boleh berniaga di satu lokasi tetapi selepas PKP tidak dibenarkan pula berniaga di lokasi sama. Jadi saya harap kerajaan negeri dan PBT permudahkan bagi rakyat kita," katanya.

MUHYIDDIN ketika menyampaikan Perutusan Khas di Bangunan Perdana Putra hari ini. FOTO Bernama
MUHYIDDIN ketika menyampaikan Perutusan Khas di Bangunan Perdana Putra hari ini. FOTO Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Jun 2020 @ 1:47 PM