RINA (kanan) bersama Timbalannya Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (kiri) dan Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Junaidah Kamarruddin pada majlis hari ini. FOTO Bernama.
RINA (kanan) bersama Timbalannya Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (kiri) dan Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Junaidah Kamarruddin pada majlis hari ini. FOTO Bernama.
BERNAMA

TALIAN Kasih Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerima panggilan paling tinggi pada April tahun ini, dengan yang tertinggi direkodkan pada 16 April iaitu 3,308 panggilan, kata Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Beliau berkata, sebahagian besar panggilan pada April itu bertanyakan mengenai bakul makanan, berkaitan rasa panik kerana Covid-19 merupakan satu perkara baharu, selain kebuntuan tidak dapat menembusi kementerian lain yang ingin dihubungi.

Menurut Rina, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, jumlah panggilan ke talian itu secara purata 150 panggilan sehari.

Ketika pelaksanaan PKP pada 18 Mac hingga 23 Jun, Talian Kasih menerima 64,125 panggilan, dengan 90.1 peratus atau 57,770 panggilan berkaitan permohonan bantuan kebajikan, manakala 2,016 panggilan dibuat oleh mereka yang memerlukan perkhidmatan kaunseling, katanya.

"Jumlah panggilan Talian Kasih mula mencatatkan penurunan pada bulan Mei apabila kerajaan mengumumkan pelbagai pakej bantuan Covid-19," katanya dalam sidang media pada perhimpunan bulanan pertama KPWKM di Putrajaya, hari ini sejak beliau menerajui kementerian tersebut pada 10 Mac lalu.

Rina berkata, KPWKM menjangkakan panggilan ke Talian Kasih meningkat menjelang September apabila moratorium yang ditawarkan susulan PKP berakhir dan ramai akan berhadapan dengan pelbagai isu kewangan dan ekonomi.

Dalam pada itu, Rina berkata, hampir setengah juta atau 433,445 bakul makanan telah diedarkan kepada isi rumah kumpulan sasar antara 18 Mac dan 23 Jun lalu, membabitkan peruntukan RM47 juta.

"Bantuan ini termasuk di 10 kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan di seluruh negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2020 @ 4:47 PM